LAGOS, 15 APRIL – Penyiasat Nigeria telah menemui hampir AS$27 juta dalam siasatan rasuah yang melibatkan menteri kerajaan dan pegawai lain yang digantung tugas, kata agensi antirasuah itu.
Presiden, Bola Ahmed Tinubu menggantung Menteri Hal Ehwal Kemanusiaan dan Pembasmian Kemiskinan, Betta Edu, pada Januari berikutan dakwaan dia telah memindahkan dana awam ke dalam akaun bank swasta.
Tinubu juga memecat ketua agensi dana pelaburan sosial kementerian itu, Halima Shehu, atas dakwaan rasuah. Dia ditangkap dan dibebaskan dengan ikat jamin, menurut media tempatan.
Bekas menteri kemiskinan, Sadiya Umar-Farouq, juga dilaporkan ditahan untuk disoal siasat.
Siasatan terhadap Kementerian Hal Ehwal Kemanusiaan setakat ini telah memperoleh 32.7 bilion naira (AS$26.4 juta) dan AS$455,000, kata Suruhanjaya Jenayah Ekonomi dan Kewangan atau agensi anti rasuah (EFCC) dalam satu kenyataan kelmarin.
“Siasatan juga telah mengaitkan beberapa pegawai kementerian yang ditahan dan digantung tugas dengan dakwaan penyelewengan kewangan,” katanya, tanpa memberikan butiran.
Seorang bekas gabenor negeri Lagos, Tinubu, yang mula berkuasa tahun lalu berjanji untuk membanteras rasuah di Nigeria, yang kekal sebagai salah satu di kedudukan terendah dalam indeks persepsi rasuah Transparency International. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/04/P21-4D-WEB_16042024.jpg)