KUALA LUMPUR, 26 DIS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini menggesa siasatan segera dijalankan ke atas ejen yang bertanggungjawab menipu pekerja asing untuk mendapatkan pekerjaan yang tidak wujud.
Gesaan beliau itu susulan laporan media semalam bahawa polis menahan sekumpulan 171 lelaki warga Bangladesh yang berjalan kaki secara beramai-ramai di Pengerang, Johor, seperti yang dirakam dalam video yang menjadi tular.
Azalina, Ahli Parlimen Pengerang, yang menyifatkan insiden di kawasannya itu sebagai “hanya sebahagian daripada masalah besar”, berkata syarikat terbabit perlu disiasat untuk menentukan bagaimana pekerja asing yang sah boleh dieksploitasi dan dijanjikan dengan pekerjaan di Malaysia.
“Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam sektor perniagaan. Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, hari ini.
Pada masa yang sama, Azalina turut memuji Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong kerana menghulurkan bantuan kepada pekerja asing yang tertipu itu.
“Sebagai Ahli Parlimen Pengerang, saya telah menghubungi YB Steven Sim kerana saya diberitahu bahawa kira-kira 2,500 daripada pendatang yang ditipu ini berada di Pengerang.
Individu di sebalik sindiket ini mesti bertanggungjawab dan siasatan segera mesti dijalankan ke atas siapa yang mengeluarkan permit ini tanpa pekerjaan,” tambahnya.
Dalam laporan media semalam, Sim berkata kementeriannya akan membantu warga Bangladesh yang ditipu itu atas alasan kemanusiaan kerana kes yang melibatkan penahanan mereka adalah di luar bidang kuasa kementerian. – Bernama


