SEOUL, 23 DIS – Polis menganalisis rekod telefon peribadi Presiden Yoon Suk Yeol selepas mendapatkannya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal awal bulan ini, kata pegawai.
Menurut agensi berita Yonhap, pasukan penyiasat khas polis yang mengendalikan kes itu sedang menyemak rekod perbualan dengan individu yang didakwa terlibat dalam pelaksanaan undang-undang tentera pada 3 Disember selepas memperolehnya melalui waran.
Polis juga sedang berusaha mendapatkan ‘telefon selamat’ yang digunakan Yoon dan rekodnya daripada Perkhidmatan Keselamatan Presiden.
Dalam perkembangan berkaitan, polis telah memperoleh dokumen yang diserahkan Yoon kepada Menteri Kewangan Choi Sang-mok semasa mesyuarat Kabinet yang berlangsung sejurus sebelum pengisytiharan undang-undang tentera.
Dokumen itu dilaporkan mengandungi langkah-langkah untuk memotong perbelanjaan operasi bagi Parlimen dan membentuk bajet untuk badan perundangan di bawah undang-undang tentera.
Pada 13 Disember, Choi memberitahu ahli parlimen bahawa dokumen itu bertujuan mendapatkan dana fiskal dan kecairan di bawah undang-undang tentera.
Setakat ini, polis telah menyoal siasat 10 daripada 12 individu yang menyertai mesyuarat Kabinet pada 3 Disember, selepas Menteri Penyatuan Kim Yung-ho tampil memberi keterangan pada Sabtu. Mereka masih belum menyoal siasat Yoon dan bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun. – Bernama