SIBU, 25 APRIL – Sibu International Powerboat Race perlu dipromosikan lebih meluas sebagai satu pertandingan bertaraf antarabangsa supaya dapat menarik penyertaan lebih ramai pelumba dari luar negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata perlumbaan itu dilihat berpotensi besar untuk memperkukuh sektor pelancongan Sarawak, khususnya di Sibu.
“Satu program yang sangat baik, ia mampu memberi impak besar kepada industri pelancongan tempatan jika diperluas dengan penganjuran berskala antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sibu International Powerboat Race 2025 hari ini.
Beliau berkata kerjasama erat daripada semua pihak amat diperlukan, khususnya dalam aspek pembiayaan dan penyediaan hadiah wang tunai yang lebih lumayan untuk menarik minat pelumba antarabangsa.
“Semua pihak perlu berganding bahu mempromosikan perlumbaan ini bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa. Kementerian saya bersedia membantu dari segi promosi dan penganjuran,” katanya.
Perlumbaan terbabit melibatkan pelbagai kategori bot termasuk Formula Tiga dan Empat, dengan penyertaan dari seluruh Sarawak dan Brunei.
Mengulas kemungkinan penganjuran perlumbaan bot laju Formula Satu, Tiong menyifatkan cadangan itu sebagai langkah baik untuk memberi peluang kepada rakyat tempatan mendalami aspek penganjuran serta merasai pengalaman dalam sukan bertaraf dunia.
“Jika ada mana-mana pihak yang berminat, kita alu-alukan untuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan seterusnya membawa cadangan ini ke peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya. – Bernama
