SIBU JAYA, 20 NOV – Pasukan dari Brunei Darussalam telah menyertai Sibu Jaya Motocross Track Day 2025 yang berlangsung di Sibu Jaya, Sarawak, baru-baru ini.
Acara yang telah menarik penyertaan ramai pelumba dari seluruh Borneo itu dianjurkan oleh GP Sibu Jaya Extreme Motorsports Club sebagai salah satu usaha mempromosikan sukan permotoran lasak serta menggalakkan kerjasama dan persaingan sihat antara pelumba serantau.
Acara tersebut juga bertujuan memberi pendedahan kepada para pelumba baharu, meningkatkan kemahiran teknikal dan menjalin hubungan silaturahim antara komuniti permotoran Brunei dan Sarawak.
Pasukan Brunei turut menunjukkan komitmen tinggi apabila mereka melakukan perjalanan darat yang jauh dari Brunei Darussalam ke Sibu Jaya. Perjalanan melalui Lebuh Raya Pan Borneo itu mengambil masa berjam-jam dan memerlukan ketahanan fizikal serta mental sebelum turun bersaing di trek. Walaupun menempuh laluan yang jauh, para pelumba tetap bersemangat untuk mewakili negara dan bersaing di peringkat serantau.
Pada acara itu, pasukan Brunei telah menyertai enam kategori, iaitu Terbuka MX1, MX2 250/125, MX 2 Stroke, MX Veteran 40, MX Veteran 50 dan Terbuka Mini Cross.
Para pelumba negara berjaya mempamerkan prestasi yang membanggakan dalam setiap kategori, malah meraih beberapa kedudukan podium utama, antaranya meraih tempat pertama dalam tiga kategori iaitu MX 2 Stroke, MX Veteran 40 dan Terbuka Mini Cross.
Acara tersebut berakhir dengan penuh semangat kesukanan, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pelumba Brunei dan Sarawak serta membuka peluang kepada lebih banyak penyertaan pada tahun-tahun akan datang.




