SIBU, 28 JAN – Ibu Pejabat Daerah (IPD) Daerah Sibu merekodkan jumlah kerugian wang tunai akibat jenayah komersial mencecah RM20,143,509.90 sepanjang tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 581 kertas siasatan telah dibuka dan bagi penyelesaian kes tahun lepas sejumlah 404 pertuduhan telah dibuat.
Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah kerugian itu, RM17,884,920.24 melibatkan kes tipu yang disiasat di bawah Seksyen 415 hingga Seksyen 420 Kanun Keseksaan; pecah amanah jenayah membabitkan RM1,653,016.65 (Seksyen 405 hingga Seksyen 409 Kanun Keseksaan); kerugian mencecah RM515,648.01 bagi jenayah siber (Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997), along yang merekodkan RM89,925.00 (Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951).
“Bagi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, sebanyak 49,988 saman dikeluarkan dan sejumlah RM1,378,088 telah dikenakan berkaitan dengan pelbagai kesalahan trafik,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan IPD Sibu hari ini.
Perhimpunan berkenaan menyaksikan 27 petugas IPD Sibu menerima sijil penghargaan Ketua Polis Daerah, 11 menerima sijil penghargaan Pesuruhjaya Polis Sarawak dan 19 pegawai rendah polis mendapat kenaikan pangkat. – Bernama