Sibu tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2020

KUCHING, 10 JULAI – Bandar Sibu akan menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Beliau berkata keputusan memilih bandar berpopulasi kira-kira 200,000 penduduk itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Induk sambutan Hari Malaysia 2020 bersama, di antara kerajaan negeri dan Persekutuan pagi tadi.

“Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dan seluruh rakyat Sarawak yang sudi menjadi tuan rumah sambutan hari bersejarah itu buat kali kedua berturut-turut,” katanya pada sidang media Hari Malaysia dan majlis pelancaran logo Bulan Kebangsaan 2020 di Auditorium Bangunan Pelita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, yang juga bertindak selaku menteri negeri bertanggungjawab bagi sambutan Hari Malaysia 2020.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Dr Rundi berkata menjadi tuan rumah dua kali berturut-turut bagi sambutan itu adalah suatu perkara bersejarah buat Sarawak dan sememangnya kerajaan negeri amat menghargai pengiktirafan itu. – Bernama

Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) dan Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 di Auditorium Bangunan Pelita, Kuching, kelmarin. – Bernama