Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Setelah bercuti kira-kira sebulan, orang ramai terutamanya para ibu bapa bersama anak-anak mereka pada masa ini sibuk mengunjungi pusat membeli-belah dan kedai-kedai buku bagi membuat persiapan akhir membeli pakaian, peralatan sekolah dan buku untuk anak-anak mereka yang akan memulakan tahun persekolahan 2025 esok.
Musim persekolahan bagi 2025 akan bermula pada 2 Januari dan tinjauan Media Permata ke beberapa buah kedai buku hari ini mendapati ibu bapa dan juga pekerja kedai buku sedang sibuk membuat pembelian barangan persekolahan.
Semasa tinjauan di kedai buku di Sengkurong, Media Permata berpeluang bertemu dengan penyelia kedai, Muhd Moktar yang berkata sejak beberapa hari kebelakangan ini, jumlah ibu bapa dan anak-anak mereka yang berkunjung ke kedai berkenaan terus meningkat.
Beliau juga berkata jumlah itu akan terus meningkat dengan bermulanya musim persekolahan 2025 dengan ibu bapa dan para pelajar membuat pembelian bukan sahaja barangan keperluan sekolah seperti alat tulis dan beg sekolah tetapi juga buku-buku teks dan latihan.
Menyentuh mengenai buku teks dan latihan, beliau berkata mereka mempunyai bekalan buku yang mencukupi untuk menampung keperluan orang ramai dengan kesemua buku-buku teks dan kerja sudah tiba serta mula dijual pada Disember lalu.
Beliau turut menjelaskan, kedainya tidak menghadapi masalah kekurangan buku teks dan setiap buku serta peralatan sekolah yang hendak diperoleh oleh pelanggannya dapat disediakan dengan segera.
Menurutnya, jumlah pembeli juga meningkat setelah gaji dan bonus hujung tahun dan menjangka akan bertambah lagi apabila sekolah mula dibuka kerana anak-anak mereka mempunyai senarai keperluan sekolah yang harus dibeli.
Beliau menambah semasa Jualan Brunei Salebration yang sedang berjalan, mereka turut menawarkan harga istimewa kepada para pelanggan untuk mendapatkan peralatan sekolah sebagai komitmen kedai itu untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.
Media Permata juga mendapati menerusi tinjauan yang dilakukan bahawa ibu bapa sudah mula mendapatkan buku dan peralatan sekolah pada awal musim percutian untuk mengelakkan kesesakan di kedai buku serta memastikan semua keperluan anak mereka diselesaikan sebelum bermulanya musim persekolahan 2025.
Seorang ibu, Dayang Salbiah binti Manap yang sibuk membeli buku dan peralatan sekolah untuk anak beliau yang bakal memulakan pengajian di Tahun 7, semasa ditemu bual mengatakan persiapan membeli peralatan buku sudah mula dibuat sejak permulaan cuti sekolah apabila mengetahui keputusan peperiksaan dan semua peralatan sekolah seperti pakaian, beg dan kasut sudah selesai dibelikan pada awal cuti persekolahan.
Beliau menyatakan tidak menghadapi masalah mendapatkan buku dalam senarai serta merakamkan rasa gembira kerana sebilangan besar buku teks dan latihan yang disenaraikan boleh dibeli di kedai-kedai buku bukan sahaja dengan mudah tetapi juga dengan harga yang berpatutan.