Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SICTA digesa bantu Sarawak capai aspirasi PCDS 2030

    SIBU, 21 SEPT – Persatuan ICT Sarawak (SICTA) digesa memainkan peranan lebih besar dalam membantu Sarawak mencapai aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadi sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi.
     
    Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata peranan SICTA kini semakin penting, khususnya dalam memperluas infrastruktur digital.
     
    Beliau berkata SICTA juga boleh membantu aspek pembangunan modal insan dengan mempertingkat kemahiran belia serta tenaga kerja dalam bidang seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.
     
    “Dalam memupuk ekosistem inovasi, SICTA boleh membantu syarikat pemula (startup), menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta menyediakan platform penyelesaian tempatan dalam sektor keutamaan seperti pertanian, perhutanan, kesihatan dan lain-lain.
     
    “Sumbangan ini akan memastikan SICTA bukan sahaja meraikan pencapaian lalu, tetapi turut membentuk masa depan Sarawak sejajar dengan aspirasi menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-25 SICTA di Sibu, semalam.
     
    Sementara itu, beliau berkata kementeriannya komited bekerjasama dengan pemain industri seperti SICTA bagi membangunkan bakat digital, meluaskan inklusi digital ke kawasan luar bandar dan terpencil, serta membina ekosistem inovasi tempatan yang berdaya saing di peringkat global. 
     
    “Marilah kita bersama-sama memastikan Sarawak bukan sahaja menjadi sebahagian daripada transformasi digital Malaysia, tetapi juga peneraju dalam mempamerkan bagaimana bandar pintar berpusatkan rakyat dan dikuasakan AI boleh dibina,” katanya. – Bernama
     
    Datuk Wilson Ugak Kumbong (dua, kiri) menyampaikan sijil kepada Pengerusi Pusat SICTA, Yong Chee Tak selepas majlis angkat sumpah jawatankuasa penggal 2015-2016 sempena majlis ulang tahun ke-25 SICTA, pada 20 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda