Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sidang bincang cabaran sektor pendidikan di Asia

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh telah menghadiri Sidang Kemuncak Asia mengenai Pendidikan dan Kemahiran ke-8 yang berlangsung di Bengaluru, India pada 15 hingga 17 Oktober.

    Kementerian Pendidikan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan turut mengiringi Yang Berhormat Datin ke sidang kemuncak berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad dan pegawai dari Kementerian Pendidikan.

    Sidang kemuncak itu me-rupakan acara tahunan yang berfungsi sebagai Bab Asia bagi Forum Dunia Pendidikan tahunan yang menghimpunkan menteri-menteri pendidikan, penggubal dasar kanan dan para pemimpin berpengaruh dalam sektor pendidikan dan pakar dari India, negara-negara Asia dan beberapa ekonomi yang sedang pesat membangun di luar rantau ini.

    Ia juga untuk berkongsi pandangan dan membincangkan cabaran serta peluang dalam sektor pendidikan dan kemahiran di Asia.

    Dengan membawa tema, Lebih Kuat, Lebih Berani, Pendidikan Lebih Baik untuk Semua: Membina Kerjasama, Meningkatkan Kualiti dan Merealisasikan Peluang, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah dalam ucapannya berkongsi inisiatif dan amalan terbaik Kementerian Pendidikan.

    Di samping itu, Yang Berhormat Datin turut mengongsi mengenai pelancaran Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023-2027 yang baru dilancarkan pada September 2023.

    Pelan itu menumpukan kepada tiga objektif menyeluruh iaitu memupuk pelajar siap siaga masa hadapan, mempertingkat ekosistem pendidikan inovatif serta membina sumber tenaga manusia.

    Serentak dengan ASES 2023, Didac India juga menganjurkan pameran yang menampilkan produk dan penyelesaian untuk semua peringkat pendidikan dan kemahiran sehingga 19 Oktober.

    Pameran itu memaparkan teknologi terkini dan paling inovatif, instrumen moden, penyelesaian, sumber inventif, metodologi terkini kemajuan dan perkhidmatan pendidikan kontemporari daripada pengeluar terkemuka yang membantu dan menghidupkan pembelajaran, pengajaran serta peningkatan kemahiran.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menghadiri sidang kemuncak yang berlangsung di Bengaluru, India pada 15 hingga 17 Oktober. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bergambar ramai dengan pegawai dari Kementerian Pendidikan pada majlis tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda