Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Sidang Eksekutif ke-57, Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) diadakan selama dua hari bermula hari ini di Hotel Parkview, Jerudong bagi membincangkan tema dan perkara lain berkaitan seminar kebahasaan dalam rangka sidang ke-58 majlis berkenaan.
Persidangan Eksekutif itu dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Sariani binti Haji Ishak, merupakan salah satu rangkai-an sidang yang diadakan selepas Sidang Pakar dan Seminar Kebahasaan MABBIM.
Persidangan berkenaan adalah bagi memutuskan dan merumuskan perkara yang diusulkan dalam Sidang Pakar bagi perlaksanaan di setiap negara anggota mengikut kesesuaian setiap negara.

Peranan dan fungsi sidang itu adalah bagi menerima laporan empat jawatankuasa dasar MABBIM di samping membincang, memutuskan dan mengesahkan cadangan yang dikemukakan selain menerima dan mengesahkan resolusi Seminar Kebahasaan.
Antara agenda yang dibincangkan semasa sidang berkenaan ialah menerima dan mengesahkan laporan Mesyuarat Sekretariat ke-23 MABBIM seterusnya menerima dan mengesahkan laporan Sidang Pakar ke-31.
Sidang kali ini dihadiri oleh ketua perwakilan setiap negara manakala Singapura sebagai ketua pemerhati.