TOKYO, 15 DIS – Pemimpin dari Asia Tenggara dan Jepun akan mengadakan perbincangan hujung minggu ini mengenai peningkatan hubungan keselamatan dengan tumpuan terhadap China serta usaha Tokyo mengenai kerjasama tenaga.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, koridor perdagangan yang penting, dan tindakannya yang semakin agresif di kawasan yang turut dituntut oleh negara Asia Tenggara telah mencetuskan ketegangan serantau.
Rakan rapat Amerika Syarikat iaitu Jepun, yang turut bersaing dalam tuntutan wilayah dengan China, meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya dan telah memperkukuh kerjasama keselamatan di rantau Asia-Pasifik.
Jepun bersetuju bulan lepas untuk membantu Filipina – yang telah menyaksikan beberapa insiden yang melibatkan kapal China dalam beberapa minggu kebelakangan ini – mendapatkan kapal pengawal pantai baharu, membekalkan sistem radar dan memulakan perbincangan mengenai perjanjian untuk mengerahkan tentera di negara masing-masing.
Menurut draf kenyataan akhir sidang kemuncak hujung minggu ini yang dilihat oleh AFP, Jepun dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) akan komited untuk ‘mengukuhkan kerjasama keselamatan, termasuk kerjasama keselamatan maritim’.
Para pemimpin juga dijangka menekankan keperluan untuk ‘wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka’, penyelesaian pertikaian secara aman serta menghormati integriti wilayah.
Jepun juga dijangka menggunakan sidang kemuncak itu untuk mendesak kerjasama tenaga, dengan mesyuarat platform Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) dijadualkan pada Isnin bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese secara maya, kata pegawai.
Tokyo sedang meningkatkan sektor boleh diperbaharuinya tetapi ia juga menerima kecaman daripada kumpulan alam sekitar kerana menyediakan kewangan awam berskala besar untuk projek bahan api fosil di seluruh Asia.
“Kita tidak boleh meminta semua negara ASEAN beralih kepada tenaga boleh diperbaharui secara drastik kerana mereka tidak mempunyai teknologi yang mencukupi, mereka tidak mempunyai sumber yang mencukupi,” kata seorang pegawai kerajaan Jepun mengenai sidang itu. – AFP


