Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sidang kemuncak ASEAN bermula di Laos

    VIENTIANE, 9 OKT – Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan, secara rasmi bermula pagi ini di Pusat Konvensyen Kebangsaan di Vientiane.

    Perhimpunan dwitahunan pemimpin dari semua 10 negara anggota ASEAN itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.

    Mengetuai delegasi Malaysia ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Selepas majlis perasmian itu, Anwar dijadual menyampaikan ucapannya semasa sesi pleno.

    Perdana Menteri juga akan menyertai beberapa mesyuarat penting, termasuk sesi Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-45, Sesi-sesi Suamuka antara Pemimpin-pemimpin dengan Wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council – ABAC).

    Sonexay Siphandone berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 9 Oktober. – AFP

    Selain itu, Anwar dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan wakil dari Timor-Leste dan Singapura, hari ini.

    Pada sebelah malam, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud di Rumah Malaysia di Vientiane.

    Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ke sidang kemuncak itu ialah Perdana Menteri China, Li Qiang; Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken; Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov; Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba; dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.

    Sidang kemuncak itu akan berakhir pada 11 Oktober, dengan Laos akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa majlis penutupan.

    Pada majlis itu, Perdana Menteri Anwar dijadual menyampaikan ucapan, menggariskan visi Malaysia sebagai pengerusi ASEAN seterusnya, dan akan memperkenalkan logo baharu ASEAN. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda