Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sidang Kemuncak ASEAN: KLCC semakin berseri, persiapan dipertingkat

    KUALA LUMPUR, 20 OKT – Hanya berbaki enam hari sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 membuka tirai pada 26 Oktober ini, suasana di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semakin sibuk dengan kerja-kerja pemasangan struktur, hiasan luaran dan landskap.

    Tinjauan Bernama hari ini mendapati pelbagai hiasan berunsur identiti ASEAN mula menghiasi kawasan luar KLCC, termasuk arca dan dekorasi bertemakan perpaduan serantau yang menambah seri persekitaran menjelang ketibaan pemimpin dunia.

    Antara yang paling mencuri tumpuan ialah struktur kubah lut sinar flora dan fauna setinggi 10 meter dengan diameter 20 meter, diinspirasikan daripada seni bina kontemporari Malaysia, yang bakal menjadi mercu sambutan kepada delegasi ASEAN serta rakan dialog antarabangsa.

    Biarpun cuaca di ibu negara sejak beberapa hari kebelakangan ini sering diselangi hujan lebat pada waktu petang, kerja-kerja persiapan di kawasan KLCC tetap diteruskan dengan petugas teknikal dan kontraktor dilihat tekun menyempurnakan pemasangan struktur, hiasan serta landskap bagi memastikan semuanya siap mengikut jadual.

    Selain kerja-kerja landskap dan pencahayaan, kawasan sekitar KLCC yang bakal menjadi nadi utama penganjuran sidang kemuncak itu juga berada dalam kawalan ketat pasukan keselamatan, dengan anggota polis ditempatkan di setiap laluan utama menuju ke pusat konvensyen berkenaan serta di sekitar KLCC Park.

    Pagi tadi turut berlangsung simulasi kawalan lalu lintas oleh pasukan polis trafik bagi memastikan pergerakan kenderaan dan delegasi berjalan lancar sepanjang tempoh sidang kemuncak itu.

    Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi penganjuran terbesar dalam sejarahnya sejak pertama kali diadakan pada 1976. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda