Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Cambridge Institute of Islamic Finance (Cambridge IFA) selaku penganjur utama dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) sebagai penganjur bersama telah menganjurkan acara Sidang Kemuncak Tadbir Urus Baik Global (3G) 2025 yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.
Sidang kemuncak sedemikian telah bermula pada tahun 2016, dan sejak itu, ia berkembang ke Dubai, Kuala Lumpur, Jakarta, serta Manila. Melalui penganjurannya, ia berjaya menghimpunkan golongan pemimpin, pakar, penggubal dasar, pengamal industri, usahawan, pegawai kerajaan, wakil organisasi bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik.
Tema Sidang Kemuncak 3G pada tahun ini Transformasi Tadbir Urus untuk Kesihatan, Alam Sekitar dan Kelestarian Komuniti.
Hadir selaku tetamu kehormat pada sidang kemuncak berkenaan ialah Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rashidah binti Haji Sabtu yang sekali gus menyampaikan ucapan pembukaan.
Beliau antara lain menyentuh dengan krisis yang saling berkaitan yang kita hadapi daripada perubahan iklim dan cabaran kesihatan global kepada ketidaksamaan yang semakin meluas pastinya menuntut bukan sahaja pembaharuan dasar tetapi pemikiran semula asas tentang cara kita memimpin dan mentadbir. Ia adalah panggilan untuk inovasi, keberanian, dan kerjasama.
Hajah Rashidah antaranya berkata sidang kemuncak berkenaan telah menghimpunkan sekumpulan pemimpin yang luar biasa daripada kerajaan, organisasi komuniti, perniagaan dan ahli akademik, semuanya bersatu dengan komitmen bersama untuk membina masyarakat yang lebih kukuh, adil dan lebih berdaya tahan.
“Kehadiran awda di sini hari ini adalah bukti kuasa dialog dan kerjasama, serta kepercayaan bahawa tidak kira betapa rumitnya cabaran kita, kita lebih kuat apabila kita menghadapinya bersama,” ujarnya.
Turut hadir ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Pengerusi Cambridge IFA, Dr Humayon Dar.
Antara objektif yang ingin dicapai menerusi sidang kemuncak berkenaan ialah untuk membincangkan dan mengongsikan mengenai perihal tadbir urus dan amalan terbaik dunia dalam aspek yang pelbagai; melancarkan laporan 3G bagi tahun 2025 yang akan mengetengahkan informasi berkaitan tadbir urus terbaik dunia dan topik-topik semasa termasuk penganugerahan bagi kategori yang berlainan kepada pemenang-pemenang bagi tahun ini.
Sehubungan itu, pada sebelah pagi telah menyaksikan tajuk perbincangan Transforming Governance to Tackle Global Health and Environmental Priorities dimuatkan dalam sesi panel pertama yang terdiri daripada Pengarah Bahagian Pengurusan Sisa dan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus, Agensi Alam Sekitar, Abu Dhabi, IR Salem Mubarak Al Braiki; Ketua Penasihat, Jabatan Tadbir Urus Korporat dan Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Filipina, Mara Louise A. Ruiz; Pengurus, EnEvo Sdn Bhd, Tan Kheng Tong dan Penolong Profesor di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam, Dr Khadizah binti Haji Abdul Mumin serta Penolong Naib Presiden Perancangan dan Strategi Korporat, Robinsons Land Corporation, Ramon Daniel Rivero selaku moderator bagi sesi panel berkenaan.
Manakala sesi panel kedua membawa tajuk perbincangan Strengthening Institutions for Community Well-Being and Sustainability terdiri daripada Penolong Ketua, Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, Bank Islam Brunei Darussalam, Dayangku Rodzi binti Pengiran Haji Abdul Rahman selaku moderator bersama empat orang panel iaitu Naib Presiden, Walailak University, Thailand, Profesor Madya Dr Warit Jawjit; Pengarah Geran dan Program, Sulaiman bin Abdulaziz Al Rajhi Charitable Foundation, Dr Nayef Al Jaber; Timbalan Pengarah Urusan, Amanah Ikhtiar Malaysia, Jani Izwandy Che Jan dan Ketua Pengurusan Pematuhan dan Risiko, Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd, Dayang Nur Sadrina binti Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili.
Sidang kemuncak berkenaan mengetengahkan ucaptama, sesi panel, dan peluang rangkaian yang membincangkan pelbagai isu penting seperti pembangunan mampan, perubahan iklim, pemerkasaan ekonomi, kesaksamaan, etika, kepimpinan, serta kesan sosial dan alam sekitar.