BOGOTA, 22 OKT – Sidang Kemuncak Biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP16, secara rasmi bermula pada Isnin di bandar Cali, Colombia.
Perwakilan dari 196 negara akan membincangkan langkah-langkah untuk mendapatkan lebih banyak pembiayaan bagi biodiversiti serta mencipta mekanisme bagi penglibatan lebih langsung daripada masyarakat orang asli, selain isu-isu alam sekitar yang lain, lapor agensi Anadolu.
Pemimpin dunia, aktivis, organisasi bukan kerajaan, pemimpin perniagaan, kumpulan orang asli dan penyelidik akan menghadiri sidang kemuncak yang akan berlangsung sehingga 1 November.
Semasa acara perasmian pada Ahad, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa para delegasi untuk berdamai dengan alam dan berusaha untuk menyelamatkan spesies terancam serta memelihara ekosistem planet.
Guterres menyeru pelaburan besar dalam Dana Rangka Kerja Biodiversiti Global yang diwujudkan tahun lalu, serta komitmen untuk menggerakkan sumber kewangan awam dan swasta yang lain.
“Golongan yang meraih keuntungan daripada alam mesti menyumbang kepada perlindungannya dan pemulihannya,” kata Guterres dalam mesej video yang disiarkan pada sidang kemuncak itu.
Kira-kira 12,000 delegasi dari hampir 200 negara, termasuk 140 pemimpin dunia dijangka menghadiri persidangan ini. – Bernama