Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Setelah perbincangan dasar intensif selama dua hari, Sidang Kemuncak Rangkaian Penyelidikan Dasar Pusat-pusat SEAMEO (CPRN) 2025 menutup tirainya dalam majlis penutup yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Sidang kemuncak yang membawa tema, Building Bridges to a Sustainable Future: Inclusive Collaboration and Innovation in Education, Science and Culture, menghimpunkan punggubal dasar kanan, penyelidik dan pemimpin pendidikan dari seluruh Asia Tenggara dan negara-negara rakan kongsi.
Majlis penutup berkenaan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan dan Pegawai Tinggi SEAMEO, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Sekretariat SEAMEO, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim; Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Haji Norjemee bin Jenek; pengarah-pengarah, timbalan-timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan dari negara-negara anggota SEAMEO serta institusi-institusi rakan kongsi.
Penyertaan mereka dalam sidang kemuncak berkenaan menggariskan komitmen kuat serantau kepada pembangunan dasar kolaboratif bagi sebuah masa depan mampan.






Dalam ucapannya di majlis berkenaan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati menyatakan sidang kemuncak selama dua hari itu, telah menyaksikan pertukaran idea, inovasi dan pandangan mengenai dasar-dasar di bawah tema, Building Bridges to a Sustainable Future: Inclusive Collaboration and Innovation in Education, Science and Culture.
Sesi berkenaan, tambahnya mempamerkan potensi transformatif apabila negara-negara anggota SEAMEO bersatu dalam mengejar matlamat pembangunan yang sama.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada pembentang-pembentang ucaptama yang disempurnakan oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati.
Terdahulu dalam ulasannya di majlis berkenaan, Pengarah Pusat SEAMEO CECCEP Indonesia, Dr Vina Adriany merakamkan amat optimis mengenai cadangan dasar-dasar yang dikemukakan semasa perbincangan sidang kemuncak itu.
Beliau juga menyatakan bahawa SEAMEO CECCEP akan menghoskan Sidang Kemuncak CPRN pada 2026 dan 2027 memastikan kelangsungan dialog serantau yang penting itu.
Salah satu acara utama pada hari terakhir sidang kemuncak berkenaan ialah pembentangan ucaptama oleh Felo Penyelidik Pusat UNEVOC dan Profesor Melawat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Margarita Pavlova yang menyampaikan gambarannya mengenai tajuk, Green Transition in ASEAN: Greening TVET as a Driver for Innovation and Community Engagement.
Sidang Kemuncak CPRN 2025 telah menubuhkan sebuah rangka kerja mantap bagi koloborasi merentas sektor, yang menggerakkan beberapa inisiatif utama yang akan membentuk pelaksanaan dasar di seluruh Asia Tenggara.
Hasil sidang kemuncak itu diharap dapat diformalkan menjadi taklimat dasar untuk diedarkan kepada negara-negara anggota SEAMEO, memastikan perbincangan diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.
Kejayaan acara itu menegaskan semula peranan SEAMEO VOCTECH sebagai peneraju utama dialog dasar dan pemangkin untuk pembangunan mampan di rantau ini.

