SEOUL, 26 JUN – Presiden Korea Selatan, Moon Jae In akan mengadakan sidang kemuncak dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman pada Rabu untuk membincangkan kaedah meningkatkan kerjasama ekonomi dan hubungan dua hala, lapor agensi berita Yonhap.
Lawatan dua hari Putera Mahkota Arab Saudi ke Korea Selatan itu adalah yang pertama sejak 1998.
Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar Korea Selatan di Timur Tengah dan pengeksport nombor satu minyak mentah untuk ekonomi terbesar keempat di Asia.
Kedua-dua pihak juga akan menumpukan kepada perbincangan mengenai skop kerjasama lain termasuk bidang teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga nuklear dan penjagaan kesihatan. – Bernama