BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Menteri-menteri ASEAN kelmarin menghadiri sesi khas persidangan maya Persidangan Peringkat Tinggi ASEAN mengenai Pembangunan Sumber Manusia anjuran Kementerian Buruh, Kurang Upaya dan Kesejahteraan, Vietnam.
Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada sidang yang dirasmikan bersama oleh Menteri Buruh, Kurang Upaya dan Kesejahteraan Vietnam, Tuan Yang Terutama NgocDung, Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam, TYT Prof Dr Phung Xuan Nha serta Setiausaha Agung ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi.
Persidangan turut menyaksikan pengesahan Roadmap bagi ASEAN Human Resources for the Changing World of Work oleh menteri-menteri pendidikan dan buruh ASEAN diikuti pelancaran Majlis TVET ASEAN.
Persidangan empat sesi panel menteri turut menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah mengongsikan inisiatif negara semasa sesi panel kedua bertemakan ‘Pembangunan Sumber Manusia dalam Era Pasca-Pandemik’.
Yang Berhormat Dato mengongsikan mengenai inisiatif yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam dalam menangani isu pembangunan sumber tenaga manusia terutamanya dalam pembangunan kemahiran abad ke-21 dan pembelajaran sepanjang hayat. Beliau turut mengongsi pembangunan kapasiti guru dan tenaga pengajar dalam melaksanakan proses pemilihan dan pengambilan guru-guru serta pengukuhan program-program latihan.

Persidangan turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, menteri-menteri pendidikan dan buruh ASEAN, rakan dialog ASEAN serta perwakilan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), UNESCO dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.
Sebelum sesi persidangan menteri-menteri ASEAN, satu sesi pegawai-pegawai kanan telah pun diadakan pada 15 September secara dalam talian, dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan para pegawai kanan daripada sektor pendidikan dan buruh ASEAN, rakan-rakan dialog ASEAN dan perwakilan ILO, Bank Dunia, UNESCO, UNICEF dan Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Pada persidangan peringkat pegawai, mereka telah meneliti dan mengesahkan dokumen Roadmap bagi ASEAN Human Resource Development for the Changing World of Work tersebut.
Sesi persidangan bagi pegawai-pegawai kanan tersebut turut menyaksikan perkongsian daripada pegawai kanan dan perwakilan dari ASEAN dan rakan-rakannya untuk mengongsikan mengenai keutamaan dan bidang kepentingan masing-masing untuk kerjasama yang berkaitan pembangunan sumber manusia.