BELGRADE, 5 MAC – Ahli Parlimen pembangkang Serbia bertindak melontar bom asap dan gas pemedih mata di dalam Dewan Parlimen ketika persidangan sedang berlangsung kelmarin sehingga menyebabkan beberapa individu tercedera.
Rakaman video yang dimuat naik di media sosial itu menunjukkan ahli politik pembangkang melemparkan bom asap hitam dan merah jambu di dalam dewan.
Klip video langsung menunjukkan Speaker Parlimen, Ana Brnabic, mengkritik protes pembangkang dan penggunaan ‘gas pemedih mata yang didakwa digunakan dalam dewan.
“Revolusi warna awda telah gagal dan negara ini akan terus hidup, negara ini akan terus bekerja dan negara ini akan terus menang,” katanya, merujuk kepada pemberontakan pro-Barat yang membelenggu negara-negara pasca-Soviet dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Bantahan itu dilakukan sebagai tanda sokongan terhadap demonstrasi pelajar susulan insiden bumbung stesen kereta api runtuh yang mengorbankan 15 orang, empat bulan lalu.
Gerakan itu memberi tekanan semakin besar terhadap kerajaan Serbia dan Presiden Aleksandar Vucic, sehingga mendorong peletakan jawatan perdana menteri pada Januari lalu dan beberapa pegawai tinggi yang lain.
Sesi parlimen kelmarin merupakan yang pertama sejak Perdana Menteri Milos Vucevic meletak jawatan dan Ahli Parlimen dijangka mengesahkan peletakan jawatannya.
Mereka juga akan membahaskan undang-undang pendidikan tinggi baharu yang akan mengurangkan yuran pengajian untuk pelajar universiti salah satu tuntutan utama para penunjuk perasaan.
Namun, dalam keadaan kekecohan, Ahli Parlimen pembangkang melancarkan protes mereka dengan melemparkan telur dan air pada ahli Parti Progresif Serbia yang memerintah. – AFP
