Friday, March 21, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sidibe, Glik gembirakan Monaco

    MONACO, 14 Julai – Dua pemain pertahanan, Djibril Sidibe dan Kamil Glik telah memberikan juara Perancis, Monaco, rangsangan besar apabila keduanya menandatangani kontrak lanjutan semalam, untuk komited dengan kelab itu.

    Pemain bek Sidibe, yang telah memenangi 10 kap dan dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris, telah menandatangani kontrak baru yang mengikatnya dengan kelab itu sehingga 2022.

    Pengumuman itu hadir beberapa jam selepas pemain pertahanan antarabangsa Poland, Kamil Glik, melanjutkan kontraknya sehingga 2021.

    Glik juga telah dikaitkan dengan beberapa buah kelab Eropah, termasuk pemenang tempat kedua Liga Perdana, Tottenham Hotspur.

    Pemain berusia 29 tahun itu telah menyertai Monaco dari kelab Itali, Torino di awal musim lepas. Sidibe pula tiba dari Lille tahun lepas.

    Pemain pertahanan Perancis, Djibril Sidibe (kanan) bersama rakan sepasukannya di Monaco ketika tiba bagi menjalani sesi latihan di La Turbie, dekat Monaco pada 10 Julai 2017. – AFP
    Pemain pertahanan Perancis, Djibril Sidibe (kanan) bersama rakan sepasukannya di Monaco ketika tiba bagi menjalani sesi latihan di La Turbie, dekat Monaco pada 10 Julai 2017. – AFP

    “Objektif musim ini adalah sama,” kata Glik.

    “Kami mahu pergi sejauh mungkin dalam Liga Juara-Juara, cuba mempertahankan gelaran Perancis dan terus menang.”

    Kedua pemain telah memainkan peranan penting musim lepas apabila Monaco memenangi gelaran Ligue 1 pertama dalam tempoh 17 tahun dan telah mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

    Kapten Monaco, Radamel Falcao, juga telah menandatangani kontrak baru sejak memenangi gelaran, dan timbalan presiden kelab, Vadim Vasilyev berkata: “Kami terus memastikan kontrak bagi pemain-pemain utama kami, satu lagi perjanjian yang memperlihatkan kemahuan kami bagi sebuah pasukan terbaik bagi musim depan.”

    Namun, Monaco telah menjual Bernardo Silva ke Manchester City dengan nilai sekitar 50 juta euro dan juga membiarkan Valere Germain dan Nabil Dirar pergi.

    Sebagai tambahan, pemain tengah Perancis, Tiemoue Bakayoko juga dalam laluan untuk menyertai Chelsea dan beberapa bintang Leonardo Jardim juga menjadi sasaran beberapa gergasi Eropah, terutamanya remaja sensasi mereka, Kylian Mbappe. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda