BERLIN, 13 NOV – Lembaga penyelia Siemens kelmarin meluluskan langkah pemisahan anak syarikat teknologi perubatannya, Healthineers, satu langkah terbaharu dalam usaha konglomerat industri Jerman itu mempercepat transformasi digitalnya.
Langkah tersebut bertujuan untuk ‘memudahkan lagi portfolio Siemens dan memperkukuh profilnya sebagai syarikat teknologi khusus,’ menurut kenyataan kumpulan berpangkalan di Munich itu.
Siemens Healthineers merupakan peneraju global dalam bidang pengimejan perubatan dan dijangka menyumbang sekitar 30 peratus daripada keseluruhan hasil pendapatan kumpulan pada tahun 2024.
Sahamnya meningkat sebanyak 0.88 peratus sebelum pengumuman kelmarin, sehari sebelum keputusan kewangan tahun 2024/2025 diumumkan, pada harga 44.82 euro sesaham.
Syarikat induk itu merancang untuk ‘melepaskan’ pegangan dalam Siemens Healthineers, kini berjumlah kira-kira 67 peratus, dengan memindahkan 30 peratus saham anak syarikat tersebut kepada para pemegang sahamnya sendiri.
“Dalam jangka sederhana, rancangan ini bertujuan mengurangkan pegangan tersebut kepada pelaburan kewangan semata-mata,” menurut kenyataan itu.
Siemens sebelum ini telah mengurangkan sedikit pegangan dalam Healthineers, yang disenaraikan secara berasingan di Bursa Saham Frankfurt sebagai sebahagian daripada indeks DAX.
Healthineers membekalkan bilik pembedahan hospital di seluruh dunia dengan peralatan pengimejan perubatan dan lengan robotik. – AFP


