Saturday, April 19, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sifat pemaaf Rasulullah SAW harus jadi ikutan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Rasulullah SAW merupakan uswatun hasanah iaitu contoh teladan yang terbaik bagi umat manusia untuk diikuti dalam semua aspek kehidupan sama ada dari sudut ketaatan dan keimanan terhadap Allah, pergaulan, akhlak dan seumpamanya.

    Sebagai umat Islam hendaklah sentiasa mencontohi sifat dan akhlak yang ada pada diri Baginda Rasulullah SAW, antara sifat Baginda yang perlu dijadikan sebagai contoh dan suri teladan dalam kehidupan seharian ialah sikap Rasulullah SAW yang pemaaf dan berlapang dada.

    Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini bertajuk Jauhi Sifat Dendam, Berilah Keampunan menjelaskan, maksud memaafkan ialah mengambil sikap berlapang dada dan meninggalkan perkara yang membawa kepada permusuhan dan pertelingkahan antara satu sama lain.

    Memaafkan itu bukanlah bererti satu tanda kelemahan atau kekalahan, tapi ia adalah satu kemenangan kerana dapat menewaskan perasaan dendam yang merupakan hasutan syaitan.

    Ini kerana perasaan dendam hanya akan membawa masalah, huru-hara dan rasa tidak tenang dalam kehidupan, malah akibat dendam, manusia sanggup melakukan perkara dosa dan keji.

    “Sikap memberi kemaafan itu memberi kesan yang baik dan positif kepada semua orang, malah ia juga sangat bermanfaat bagi kesihatan fizikal dan mental, bahkan bukan itu sahaja, Allah akan menambah kemuliaan kepada orang yang pemaaf,” tegas khatib.

    Katanya lagi, “tidak dapat dinafikan dalam kehidupan sehari-hari, kita tidak akan terlepas daripada menerima ujian dan dugaan, yang mana kadang kala menyebabkan timbul perasaan marah, tidak puas hati dan sifat dendam dalam diri disebabkan perbuatan orang lain yang tidak menyenangkan hati seperti dimalukan, difitnah, dihina, dizalimi dan seumpamanya”.

    Selain itu, khutbah turut mengingatkan bahawa agama Islam memerintahkan umatnya supaya bersifat sabar dan dianjurkan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, sebaliknya perbuatan jahat hendaklah dibalas dengan cara yang lebih baik iaitu dengan kebaikan dan kemaafan.

    “Sentiasalah bersikap pemaaf dan berlapang dada sekalipun berada di persekitaran yang negatif, kerana sikap tersebut mampu membawa perubahan kepada keadaan sekeliling,” jelasnya.

    Katanya lagi, “dalam Al-Quran dan hadis, Rasulullah SAW ada menjelaskan mengenai keistimewaan orang yang bersifat pemaaf iaitu mendapat ganjaran daripada Allah, sifat juga pemaaf dapat melembutkan hati seseorang”.

    Selain itu, Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa sifat pemaaf itu merupakan antara iman yang paling utama.

    Sikap berlapang dada dan suka memberi kemaafaan itu adalah sikap mulia yang diajarkan oleh agama Islam dan sikap ini hendaklah dipraktikkan dalam kehidupan sama ada dalam institusi kekeluargaan atau bermasyarakat.

    Beliau seterusnya menambah, apabila berlakunya perselisihan faham, hendaklah segera bermaafan di antara satu sama yang lain agar tidak berlaku sebarang pergaduhan dan permusuhan yang berpanjangan.

    “Jauhilah sifat dendam, sebarkanlah perilaku saling memaafkan sebagai tanda kesucian hati serta jadikanlah sifat pemaaf dan berlapang dada itu sebagai amalan dan diterapkan dalam kehidupan seharian”.

    “Mudah-mudahan dengan itu, kita hidup dalam keadaan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan berkasih sayang,” jelasnya.

    Memaafkan kesalahan orang lain tanda kesucian hati. – Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda