Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Perhimpunan Agung Antarabangsa SSEAYP ke-31 (SIGA) berakhir dengan majlis makam malam di Royal Berkshire di Tarindak D ‘Polo, Jerudong, semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil. Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan persembahan pidato oleh Ketua Perwakilan SSEAYP dari Brunei, Awang Muhammad Iqbal Fakhri bin Damit dan ucapan daripada Datin Paduka Dr Hajah Norlila.
Acara kemudiannya diikuti dengan cabutan undian dan penyampaian cenderahati kepada penaja dan penyokong program sebagai tanda penghargaan serta penyampaian sijil penyertaan kepada ketua delegasi dan penyerahan SIGA kepada Thailand selaku tuan rumah SIGA seterusnya pada tahun 2020. Dengan tema Reunite Reignite, program yang diadakan selama tiga hari itu diisikan dengan beberapa acara seperti majlis perhimpunan agung termasuk forum terbuka, aktiviti sumbangan sosial dan lawatan sekitar di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong.
Aktiviti berkenaan diadakan antara lain bertujuan bagi membantu para peserta untuk memahami budaya Brunei dan berkongsi semangat kerjasama antarabangsa dan persahabatan melalui penyertaan dalam Program SIGA.
