Aku takkan pernah lupa peristiwa yang menimpa ibu kami dua tahun lalu. Kisah ini bukan rekaan dan bukan juga dongengan kampung. Ini pengalaman sebenar kami sekeluarga diganggu angkara sihir oleh orang yang kami anggap keluarga sendiri.
Kami tinggal di sebuah taman perumahan sederhana di pinggir bandar. Ibu seorang yang ramah dan disenangi jiran. Tapi sejak arwah ayah meninggal, ibu banyak menyendiri. Kami, anak-anaknya, semuanya sudah bekerja dan tinggal jauh. Tinggallah ibu seorang diri di rumah.
Jiran sebelah rumah, Kak Timah, nampak biasa saja pada pandangan orang. Suka senyum, selalu bagi lauk. Tapi ibu pernah mengadu, Kak Timah kadang bercakap sesuatu yang ‘lain macam’. Seperti menyindir hal rumah pusaka, tanah peninggalan ayah, dan kata-kata yang seakan ada niat tersirat. Kami anggap ibu mungkin terlalu sensitif. Tapi kami silap.
Semuanya bermula bila ibu jatuh sakit secara tiba-tiba.
Pada mulanya, hanya demam dan letih biasa. Tapi makin hari, ibu jadi makin lemah. Makan tak lalu, tidur tak lena. Matanya makin cengkung. Kadang dia bercakap seorang. Pernah sekali aku balik jenguk, ibu duduk merenung ke dinding kosong dan bergumam perlahan seperti membaca sesuatu. Bila aku tanya, dia kata ada ‘perempuan tua’ datang duduk di hujung katil malam-malam.

Aku bawa ibu ke klinik, buat pemeriksaan. Doktor kata tekanan darah rendah, mungkin kemurungan. Tapi sebagai anak, aku tahu ini bukan sekadar penyakit fizikal.
Malam itu, aku tidur di ruang tamu. Sekitar jam 2 pagi, aku terdengar suara dari bilik ibu.
Aku bangun perlahan. Bila aku intai dari celah pintu yang tak rapat, aku nampak ibu duduk bersila menghadap tingkap, bibirnya terkumat-kamit. Di luar tingkap, aku jelas nampak bayangan perempuan berambut panjang berdiri menghadap ke dalam. Matanya merah menyala. Aku terkejut sampai terundur ke belakang. Bila aku pandang semula bayang -bayang itu dah hilang.
Esoknya, aku terus hubungi seorang sahabat lama yang kini bergelar ustaz, Ustaz Hafiz.
Aku ceritakan semua yang berlaku, dan dia bersetuju datang malam itu juga.
Waktu malam, kami adakan sesi ruqyah. Ibu duduk di tengah ruang tamu, Ustaz Hafiz mula membaca ayat-ayat suci. Awalnya ibu hanya tunduk diam. Tapi bila bacaan sampai ke Surah Al-Baqarah, ibu tiba-tiba mengerang dan menjerit nyaring.
“Aku tak sakit! Kau semua bohong! Ini rumah aku!”
Suara itu bukan suara ibu. Ia kasar, dalam, dan menggerunkan. Ibu bangun, matanya melotot, wajahnya berubah jadi bengis.
Ustaz Hafiz kekal tenang, terus membaca dan meniup ke air penawar. Kami bertiga, aku dan dua adik memegang ibu sekuat hati. Badannya kecil, tapi kekuatan yang dia tunjukkan malam itu luar biasa.
Dalam proses rawatan itu, jin yang merasuk ibu mula bersuara, “Dia (jiran) tak suka ibu kamu, katanya ibu bongkak, tak mahu bagi tanah tu dan dia hantar aku! Aku akan duduk sini sampai dia dapat tanah tu!”
Aku dan adik-adik terduduk. Ternyata semua ini berpunca dari hasad dengki seorang jiran yang mahu tanah pusaka ayah kami yang berada di belakang rumah.
Malam itu, dengan izin Allah, jin itu berjaya dikeluarkan. Tapi Ustaz Hafiz pesan sihir ini bukan seperti sakit biasa. Ia akan datang semula kalau tak dijaga. Kami perlu jaga solat, baca ayat pendinding dan yang paling penting jangan berbaik-baik dengan punca sihir.
Paling menyakitkan, kami terpaksa berpura-pura seperti tiada apa-apa dengan Kak Timah.
Tapi hati kami tahu.
Senyumannya selepas ibu sembuh pun terasa lain macam. Seolah-olah dia tahu, rancangannya gagal.
Ustaz Hafiz juga berikan kami beberapa amalan seperti membaca Surah Al-Baqarah setiap malam, menggantung ayat Kursi dan beberapa doa pelindung di setiap penjuru rumah. Dia juga bekalkan air rukyah untuk ibu mandi dan minum selama 7 hari berturut-turut.
Alhamdulillah, selepas beberapa minggu, ibu kembali ceria. Makan pun berselera. Tapi kesan trauma masih ada. Dia masih takut tinggal seorang. Kami bergilir jaga ibu hingga kini.
Apa yang berlaku mengajar kami satu perkara penting iaitu hasad manusia lebih kejam dari jin itu sendiri.
Jangan pandang ringan kata-kata orang. Jangan terlalu cepat percaya senyuman manis jiran. Dan paling penting, jangan pernah tinggal solat dan zikir, kerana kita tak tahu siapa yang dengki, dan bila mereka mula menghantar sesuatu yang kita tak nampak.