Tuesday, February 4, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sikap bijak dan kelakar Amylea tambat hati suami

    Penyanyi dan komposer Malaysia, Amylea Azizan pernah disangka sebagai seorang lesbian kerana tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana lelaki sebelum ini.

    Memetik dari mStar, Amylea, 37, berkata, tanggapan tersebut antara paling pahit terpaksa ditelan sepanjang bergelar anak seni namun menganggap ia sebagai asam garam sebagai selebriti.

    “Mungkin ramai terkejut dengan berita perkahwinan saya… Sebelum ini ada orang cakap saya tak ‘straight’ sebab saya tidak pernah ada kekasih dan selalu seorang diri.

    “Jadi adalah yang membuat spekulasi sedemikian… Itu antara komen pedih pernah saya terima,” katanya kepada mStar.

    Amylea berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) yang berlangsung pada Ahad.

    Bercakap mengenai kehidupan selepas bergelar isteri, Amylea bersyukur dapat merasai nikmat bercinta selepas berkahwin memandangkan perkenalan dengan suami berlangsung dalam tempoh singkat.

    Beliau tidak berniat merahsiakan perkahwinannya dengan Mohammad Aqbar Mohamad atau Ash, 40, sebaliknya hanya memenuhi permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

    “Apabila kami berjumpa, saling mengenali dan keluarga pun merestui, kami bercinta selepas kahwin.

    “Kami mula bercinta selepas suami menyatakan hasrat melamar saya dan Alhamdulillah syukur saya dapat merasai keindahan percintaan selepas berkahwin,” katanya.

    Sementara itu, Ash memberitahu sikap humor dan kebijaksanaan Amylea membuatkan beliau terpikat meskipun pada awalnya penyanyi itu kelihatan pendiam.

    “Pada mulanya saya tidak tahu Amylea seorang artis… Pada awalnya beliau agak pendiam dan kurang berbual tetapi apabila sudah rapat kami dapat berkomunikasi dengan baik.

    “Amylea seorang yang bijak selain berpengetahuan luas serta kelakar. Kualiti itu yang membuatkan saya jatuh hati padanya,” kongsinya.

    Pada 27 November lalu, Amylea mendedahkan beliau sah bergelar isteri kepada Ash namun merahsiakan tarikh sebenar mereka bernikah.

    Bagaimanapun ketika ini, pasangan tersebut menjalani hubungan jarak jauh kerana Ash merupakan anggota bomba di Singapura. – Agensi

    Peminat terkejut dengan berita pernikahan Amylea Azizan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda