Thursday, May 8, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sikap jiran yang penyibuk jadi penyelamat

    OVIEDO, 7 MEI – Orang ramai biasanya kurang senang dengan jiran yang suka menyibuk atau ‘jaga tepi kain orang’, tetapi seorang wanita di Oviedo, Sepanyol, telah dianggap sebagai wira selepas tindakannya yang berjaya menyelamatkan 3 kanak-kanak di seberang jalan dari rumahnya.

    Menurut laporan Oddity Central, seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Silvia oleh media Sepanyol, telah memerhatikan aktiviti di rumah jirannya sejak mereka berpindah semasa wabak COVID yang lalu.

    Jiran baharunya Christian Steffen, 53 dan isteri Melissa Ann Steffen, 48, serta tiga anak mereka berpindah dari Jerman ke bandar Oviedo di Sepanyol pada 2021, pada kemuncak wabak COVID-19.

    Keluarga berkenaa sering menyendiri sejak awal dan tidak berinteraksi dengan sesiapa pun, jadi kebanyakan jiran lain mengabaikan mereka.

    Tetapi bukan Silvia.

    Dengan sikap penyibuknya, setelah memerhati rumah pasangan Steffen selama bertahun-tahun, dia dapat merasai sesuatu yang tidak kena apabila melihat hanya Steffen sahaja membuka pintu depan rumah untuk mengambil barangan runcit yang dihantar di hadapan rumah.

    Selain itu, tirai tingkap bilik tidur kanak-kanak sentiasa diturunkan pada waktu yang sama pada setiap petang.

    Bagaimanapun, perkara yang mendorongnya untuk memberitahu pihak berkuasa ialah pembelian lampin yang berterusan, walaupun kanak-kanak dalam rumah tersebut berusia lapan dan sepuluh tahun.

    Rumah Steffen yang mencurigakan.

    Selepas beberapa kali melihat kanak-kanak itu melalui tingkap dan melihat bahawa mereka jelas tidak sesuai untuk memaki lampin, jadi dia menghubungi polis tempatan.

    Selepas mendengar bukti yang diceritakan Silvia, pihak berkuasa memutuskan bahawa terdapat sesuatu yang pelik tentang keluarga Steffen, jadi mereka memutuskan untuk menyiasat.

    Apa yang ditemui sangat mengejutkan.

    Disifatkan sebagai ‘rumah seram’ oleh media Sepanyol, rumah Steffen dipenuhi dengan lampin kotor kanak-kanak dan tuala wanita ibu mereka.

    Tingkap rumah semuanya ditutup dan udara dibersihkan selama 24/7 oleh berpuluh-puluh mesin oksigen. Sepasang kanak-kanak kembar berusia lapan tahun dan seorang sepuluh tahun ditemui dengan kesemuanya memakai lampin dan menghabiskan sepanjang masa hanya di dalam rumah.

    Pemeriksaan perubatan juga mendapati kanak-kanak tersebut mengalami sembelit yang teruk kerana tidak dibenarkan menggunakan bilik air.

    Pasangan tersebut nampaknya yakin bahawa anak-anak mereka boleh mengalami masalah kesihatan yang serius dan akan mati jika mereka dijangkiti coronavirus.

    Untuk mengelakkan dijangkiti, mereka dikurung selama lebih daripada tiga tahun, memaksa memakai tiga topeng muka sekali gus dan hanya memakai baju tidur dan stokin yang bersih.

    Polis juga mendapati bahawa rumah tersebut menggunakan elektrik dengan kadar yang luar biasa tinggi, kemungkinan kerana memasang sekurang-kurangnya enam penapis udara setiap masa.

    Tambahan lagi, bil air juga tinggi yang menunjukkan bahawa mereka kerap mandi secara paksa untuk mengelakkan jangkitan virus.

    Pakar psikologi telah mencadangkan bahawa pasangan Steffen mungkin mengalami ‘Sindrom Covid’.

    Mengenai perpindahan kehadiran keluarga Steffen ke Oviedo, polis mengetahui bahawa semasa di Jerman, ibu bapa meminta sekolah anak-anak mereka membenarkan mereka bersekolah tanpa menghadiri kelas, tetapi permintaan mereka ditolak.

    Untuk mengelak daripada tindakan undang-undang kerana tidak menghantar kanak-kanak ke sekolah, pasangan Jerman itu memutuskan untuk berpindah ke Sepanyol.

    Di dalam rumah tersebut, polis turut menemui buku sebagai bahan untuk mengajar, pelbagai permainan papan dan lukisan-lukisan oleh kanak-kanak tersebut untuk menghabiskan masa semasa dikurung.

    Kanak-kanak tersebut kini sedang dinilai daripad segi perubatan dan psikologi. Ketiga-tiganya kelihatan terkejut dan panik apabila dibawa keluar dari rumah pada kali pertama, menunjukkan mereka telah dikurung dalam tempoh lebih tiga tahun.

    Antara kanak-kanak yang dikurung setelah ditemui. – GAMBAR-GAMBAR DARI POLIS KEBANGSAAN SEPANYOL

    Polis Sepanyol mengesahkan bahawa ‘perintah berkurung’ oleh pasangan Steffen telah dihentikah berkat daripada sikap penyibuk oleh Silvia, jiran mereka.  Tanpanya, kanak-kanak tersebut boleh menghadapi trauma kanak-kanak untuk entah berapa tahun.

    Pasangan Steffen tersebut bakal menghadapi antara lima hingga tujuh tahun penjara dan hukuman akan ditambah jika tuduhan baharu dikenakan terhadap mereka. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda