Baru-baru ini saya menghadiri satu majlis perkahwinan dan apabila para tetamu sudah dijemput untuk menikmati jamuan, alangkah terkejutnya saya kerana ada segelintir tetamu yang terus sibuk ‘menapau’ makanan dengan jumlah yang banyak sehingga tidak menghiraukan tetamu lain yang baru hendak mencedok makanan ke pinggan masing-masing.
Seperti mana yang kita tahu, budaya menapau ketika majlis orang kahwin memang sudah menjadi kebiasaan.
Dalam konteks adab makan umpamanya, Islam menganjurkan agar umatnya sentiasa menjaga adab-adab tersebut sama ada ketika makan, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu menjadi tetamu dan berada dalam satu majlis.
Ini kerana makan dengan cara beradab itu boleh mencerminkan keperibadian seseorang.
Sebagai tetamu, diharuskan makan apa yang dihidangkan oleh tuan punya majlis, namun makan pula biarlah bersederhana, jangan terlalu kenyang dan jangan pula mengambil makanan yang berlebihan mengambil hak bahagian tetamu lain yang duduk semeja.
Perbuatan menapau atau membungkus makanan selepas majlis adalah sesuatu yang elok kerana ia dapat mengelakkan pembaziran namun jangan berlebihan sehingga menjadi bualan orang ramai.
Janganlah perkara ini diabaikan dan dipermudahkan kerana tanpa keredaan tuan punya majlis, makan makanan yang ditapau boleh menjadi haram.
Selain itu, membungkus makanan ketika tetamu lain baru saja menikmati hidangan atau mungkin ada yang masih berhajat untuk menambah makanan tersebut adalah satu sikap yang perlu dielakkan.
Dayang Seroja
