Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siklon berubah arah, jejas barat India

    AHMEDABAD, INDIA, 13 JUN – Angin kencang dan hujan lebat menghentam barat India hari ini ketika satu siklon besar yang dijangka melanda pesisir pantainya berubah arah ke Laut Arab.

    Vayu, diklasifikasikan sebagai siklon paling teruk, berubah arah ke utara-timur laut semalaman di Laut Arab dan sekitar 110km dari pesisir negeri Gujarat.

    Ia kemungkinan besar akan tetap bergerak ke arah yang sama namun masih melalui pesisir pantai, membawa angin kencang 135-145kmsj dan badai 160kmsj, Jabatan Meteorologi India (IMD) mengatakan.

    “Ancaman peningkatan angin, ribut pasir dan hujan lebat masih lagi wujud. Pusat ribut – dikenali sebagai matanya – sudah pun bergerak jauh sedikit daripada pesisir pantai Gujarat, namun diameternya adalah melebihi 900km,” menurut seorang pegawai IMD memberitahu media tempatan.

    Hujan lebat dijangka berterusan sehingga Sabtu, Ketua IMD Gujarat, Jayanta Sarkar memberitahu AFP.

    Nelayan dan penduduk kampung cuba menarik sebuah perahu nelayan yang dihanyutkan ombak di pesisir Laut Arab ketika yang lainnya berlari mendapatkan perlindungan di Veraval, Gujarat India, 13 Jun. Siklon yang dijangka menghentam teruk Gujarat bagaimanapun berubah arah hari ini dan menjejaskan barat India. – AP

    Semalam, peramal menjangkakan ia akan menghentam Gujarat dengan teruk dengan persamaan kepada taufan kategori satu atau dua.

    Pihak berkuasa sudah pun memindahkan lebih 285,000 orang sebagai persediaan, manakala sekolah ditutup dan para pegawai pula bimbang mengenai kerosakan teruk terhadap rumah-rumah, tanaman, kuasa elektrik dan komunikasi.

    Lima orang terbunuh akibat kilat di Gujarat, kebanyakannya petani dan buruh yang bekerja di ladang-ladang, menurut pihak berkuasa.

    Manakala pada hari ini, siklon berada 110km dari Veraval, hab utama industri perikanan India, yang mengeksport ke Jepun, Asia Tenggara, Eropah, Teluk dan Amerika Syarikat.

    Negeri itu juga merupakan kawasan pelabuhan utama dan juga kilang penapis Jamnagar, yang terbesar di dunia.

    Semua pelabuhan di Gujarat dihentikan operasinya dari Rabu lagi manakala Indian Railways membatalkan 77 perjalanan kereta api. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda