SEATTLE, 20 NOV – Ribut besar melanda barat laut Amerika Syarikat (AS) pada petang kelmarin, membawa angin kencang dan hujan lebat yang menimbulkan gangguan bekalan elektrik secara meluas serta pokok tumbang yang mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut.
Pusat Ramalan Cuaca mengeluarkan amaran risiko hujan lebat hingga Jumaat dan amaran angin ribut kencang berikutan fenomena sungai atmosfera yang paling kuat, aliran kelembapan besar yang dianggap paling kuat musim ini di California dan barat laut Pasifik, menyebabkan kawasan itu terjejas teruk. Sistem cuaca itu turut dikenali sebagai ‘siklon bom,’ yang berlaku apabila siklon semakin meningkat dengan cepat.
Di Washington, pokok-pokok tumbang merosakkan rumah dan menyekat jalan. Di Lynnwood, Washington, seorang wanita maut apabila sebatang pokok besar tumbang ke atas kem gelandangan, menurut kenyataan South County Fire di platform X. Di Seattle, pokok tumbang ke atas kenderaan, menyebabkan seorang individu terperangkap sebelum diselamatkan, menurut Jabatan Bomba Seattle. Agensi itu kemudian mengatakan individu tersebut berada dalam keadaan stabil.
“Pokok-pokok tumbang di seluruh bandar dan menimpa rumah,” kata jabatan bomba di Bellevue, kira-kira 16 kilometer di timur Seattle, di platform sosial X. – AP