BEIRA, Mozambique, 18 Mac – Bencana angin kuat siklon yang menjejaskan seluruh Mozambique dan Zimbabwe telah mengorbankan kira-kira 162 orang bersama sejumlah besar lagi masih hilang, mengakibatkan kehancuran ‘besar-besaran dan menakutkan’ di bandar Mozambique, Beira, menurut pihak berkuasa dan Palang Merah, hari ini.
Siklon Idai melanda tengah Mozambique pada malam Khamis sebelum bergerak ke negara jiran, Zimbabwe, dengan membawa banjir kilat dan angin kuat serta memusnahkan jalan-jalan raya dan rumah.
“Skala kemusnahan akibat Siklon Idai yang melanda bandar Beira adalah sangat besar dan menakutkan,” kata Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) dalam satu kenyataan.
Ia berkata 90 peratus bandar yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 530,000 orang dan kawasan sekitarnya telah ‘rosak atau musnah.’
“Keadaannya sangat teruk. Skala kemusnahan adalah sangat besar,” kata Jamie LeSuer dari IFRC dipetik sebagai berkata.

“Hampir kesemuanya telah musnah. Rangkaian perhubungan benar-benar terputus dan jalan raya turut musnah. Beberapa komuniti yang terjejas tidak dapat dicapai,” katanya.
Sebuah empangan besar telah pecah semalam dan memutuskan jalan terakhir ke Beira, tambah LeSuer.
Satu angka kematian yang dicatatkan oleh AFP hari ini daripada beberapa sumber rasmi telah meletakkan jumlah kematian di Mozambique seramai 73 orang, termasuklah 55 orang di Beira dan 89 di Zimbabwe.
Kira-kira 150 orang lagi masih hilang di Zimbabwe, dengan kebanyakan mereka dipercayai sebagai kakitangan kerajaan yang tinggal di kompleks perumahan yang dihanyutkan oleh banjir
Sementara itu, menteri alam sekitar Mozambique, Celso Correia, memberi amaran bahawa angka kematian dijangka meningkat. – AFP