Sila pantau tenaga pengajar sekolah swasta

Saya sebagai salah seorang ibu bapa bagi murid di salah sebuah sekolah swasta di negara ini.

Pada tahun ini, anak saya akan menduduki peperiksaan besar dan bakal memasuki tingkatan enam bawah tahun hadapan. Namun timbul permasalahan di sekolah anak saya menuntut, di mana salah satu mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu diajar oleh tenaga pengajar yang kurang diyakini. Hal ini kerana mata pelajaran berkenaan diajar oleh guru yang berbangsa Cina. Saya di sini bukanlah mempertikaikan tentang bangsa tetapi cara pengajaran guru berkenaan sepertinya memiliki banyak kesalahan dan tidak betul. Meskipun saya bukan seorang yang terpelajar tetapi saya mengetahui serba sedikit bahawa penggunaan ayat yang salah, cara memberikan soalan yang salah dan sebagainya.

Perkara ini sudah diadukan kepada pihak sekolah berkenaan dan murid-murid termasuk anak saya sendiri sudah pun ditanyakan oleh pihak sekolah berkenaan. Namun sehingga kini belum ada penyelesaiannya. Saya dan ibu bapa yang lain setentunya tidak mahu anak-anak kami gagal dalam mata pelajaran berkenaan lebih-lebih lagi anak-anak kami yang menduduki peperiksaan besar hanya kerana guru yang tidak diyakini.

Saya memohon pihak tertentu terutama sekali Kementerian Pendidikan memantau perkara tenaga-tenaga pengajar di sekolah swasta. Hal ini kerana biarlah tenaga pengajar yang diambil bekerja atau ditugaskan benar-benar layak menjawat jawatan berkenaan. Masih ramai lagi graduan-graduan di negara ini berkelayakan untuk menjawat sebagai guru Bahasa Melayu.

SZS