MELAKA, 12 DIS – Seorang pekerja kedai bersama pelanggan dan anak damitnya nyaris cedera dihempap runtuhan siling di Bazar Kraf tangan Dataran Pahlawan Megamall di Banda Hilir dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam tadi.
Pekerja kedai, Mustapa Seman, 45, berkata kejadian itu berlaku ketika hampir semua peniaga mulai beredar dan menutup gerai masing-masing namun dia masih berada di
situ melayani pelanggan sebelum terdengar bunyi rekahan dan melihat beberapa serpihan kecil siling mulai jatuh.
“Saya sempat menjengah ke kawasan itu selepas beberapa minit pelanggan terakhir beredar, kemudian segera keluar ke pintu berdekatan dan melihat siling itu mulai runtuh secara tiba-tiba dan rasa amat bersyukur kerana tiada siapa yang cedera dalam kejadian tersebut.
“Sebelum ini, memang saya ada terdengar bunyi sama kerana menyangkakan ia perkara biasa berlaku berikutan kawasan padang di atas tempat kami berniaga dijadikan kawasan tempat meletak kenderaan valet,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu video rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat di media sosial mengenai kejadian itu malam tadi yang memperlihatkan seorang lelaki nyaris terkena runtuhan siling berkenaan. – Bernama


