Silva bantu kemenangan City

BIRMINGHAM, 2 DIS – Pep Guardiola mengakui Bernardo Silva berada pada tahap prestasi terbaik selepas penyerang Portugal itu membantu Manchester City mencatat kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa pagi tadi.

Silva meledak gol kedua City hasil rembatan voli luar biasa selepas Ruben Dias meletakkan pasukan bimbingan Guardiola di depan.

Ollie Watkins merapatkan jurang buat pasukan tuan rumah pada separuh masa kedua namun City berjaya mengekalkan kedudukan sehingga tamat permainan untuk memberikan kekalahan pertama Steven Gerrard selaku pengendali Villa selepas tiga perlawanan.

City berjaya mengekalkan kedudukan di tangga kedua hanya dipisahkan dengan satu mata di belakang pendahulu, Chelsea yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Watford.

“Bernardo meledak gol yang luar biasa. Apabila pemain mempunyai kualiti seperti ini semuanya terserah kepadanya. Dia adalah pemain yang berada di satu tahap lain.

“Permainan yang kami berikan sangat luar biasa. Kami sedar ia aksi yang sukar. Terutama selepas melepaskan gol pada separuh masa kedua, cara kami memberi tindak balas dan bermain adalah amat cemerlang,” katanya.

Pasukan bimbingan Gurdiola mencatatkan enam kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan walaupun berdepan dengan masalah kecergasan sehingga memaksa pengendali kelahiran Sepanyol itu mengakui mereka berdepan situasi kecederaan yang mencemaskan pada minggu ini.– AFP

Aksi Bernardo Silva semasa perlawanan di antara Aston Villa dan Manchester City di Villa Park di Birmingham, England pada 1 Disember 2021. – AP