MANCHESTER, 11 OGOS – Bernardo Silva mendedahkan dia bersedia meninggalkan Manchester City selepas melihat masa depannya sangat cerah dan mampu menjadi pemain seterusnya di Barcelona.
Pemain tengah Portugal itu menjadi nadi penting dalam pasukan City yang memenangi empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh lima musim lalu.
Pengurus City, Pep Guardiola berkata bahawa dia tidak akan menghalang Silva sekiranya pemain itu ingin meninggalkan Manchester.
Bagaimanapun, penyandang juara EPL itu dilaporkan akan menuntut bayaran melebihi 80 juta pound, di mana Barcelona akan bergelut untuk memenuhinya melainkan terdapat beberapa perpindahan penting dari Camp Nou.
“Hubungan saya dengan kelab sangat jujur. Saya bersikap terbuka dengan mereka dan mereka tahu apa yang saya mahukan.
“Jika saya kekal, saya sangat gembira, dan saya akan sentiasa menghormati kelab ini dan memberikan yang terbaik. Jika tidak, ia adalah bola sepak dan kita lihat sahaja apa yang akan berlaku.
“City adalah kelab besar dan mereka tidak mahu pemain yang tidak gembira di kelab ini. Mereka selalu berkata kepada kami semua bahawa jika awda tidak gembira, awda boleh pergi.
“Sudah tentu, perkara ini membabitkan perniagaan dan mereka mahukan jumlah wang yang sesuai untuk melepaskan kami, tetapi secara peribadi ia adalah hubungan dengan kelab yang saling menghormati,” kata Silva.
Barcelona membelanjakan kira-kira 150 juta pound untuk mendapatkan Robert Lewandowski, Raphinha dan Jules Kounde, serta membawa masuk Andreas Christensen dan Franck Kessie secara percuma. – AFP