LONDON, 30 OKT – Everton meredakan tekanan ke atas Marco Silva dengan kemenangan 2-0 ke atas bekas kelab pengendalinya itu, Watford.
Anak buah Silva kini hanya dua mata di atas garis penyingkiran Liga Perdana Inggeris selepas kekalahan di Brighton Sabtu lalu.
Jika tewas kepada Watford, ia pasti menjadi penamat buat Silva tetapi Mason Holgate dan Richarlison menemui sasaran untuk melanjutkan hayat pengendalinya itu.
Everton, yang belum pernah menjulang trofi Piala Liga, terpaksa menunggu hingga minit ke-72 untuk menembusi benteng Watford.
Theo Walcott membuat hantaran kepada Holgate dan pemain pertahanan itu memastikan Everton di depan dengan tandukan dari jarak dekat.
Bekas penyerang Watford, Richarlison melengkapkan kemenangan dengan penyudah cantik dalam masa kecederaan.
“Kami berhak menang. Kami adalah pasukan terbaik. Kami sedikit perlahan di babak pertama tetapi lebih baik di babak kedua,” kata Silva. – AFP