Simanggang tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan peringkat Sarawak

KUCHING, 12 OGOS – Bandar Simanggang, yang sebelum ini dikenali sebagai Sri Aman, kira-kira 192km dari sini, akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan peringat negeri Sarawak pada 31 Ogos ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengumumkan perkara itu berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengetuai Perjalanan Perpaduan yang akan menjadi acara kemuncak sambutan.

“Seramai 250 peserta yang terdiri daripada para belia berpakaian kostum tradisional kaum masing-masing akan berjalan kira-kira 1.5 kilometer mengelilingi Simanggang pada pagi 31 Ogos sempena sambutan ini,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Beliau berkata satu majlis Malam Mesra di Ambang Sambutan Hari Kebangsaan 2020 akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Simanggang bermula pukul 7:30 malam 30 Ogos yang melibatkan Abang Johari bersama-sama ketua-ketua masyarakat tempatan.

“Sambutan tahun ini akan turut merakamkan penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan menerusi tayangan video khas berjudul ‘Wira’ yang mengisahkan sisi kehidupan, pengorbanan dan kekentalan hati mereka dalam menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya. – Bernama