Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simit, roti terkenal penduduk Turki

    ANKARA – Simit, roti cincin yang ditaburi dengan biji bijan, sangat terkenal sebagai makanan jalanan yang lazat di Turki. Beberapa minggu yang lalu, Simit telah dimasukkan ke dalam Kamus Oxford English dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

    Dikenali sebagai ‘bagel Turki’, simit dimasukkan ke dalam kamus terkenal itu bersama dengan beberapa makanan lain di seluruh dunia, dengan takrifan mengatakan ia sejenis roti yang disalut dengan molase dan biji bijan, berasal dari Turki.

    Kemasukan rasmi perkataan itu ke dalam kamus Bahasa Inggeris telah dipuji oleh pengguna media sosial Turki yang menganggap keputusan itu sebagai refleksi dari pengaruh budaya gastronomi Turki yang semakin berkembang di dunia yang sering berubah.

    Secara tradisionalnya, adunan simit diperbuat daripada tepung, air, yis dan garam kemudian ia dicelupkan ke dalam air dan ditambah molases anggur untuk mewarnakannya menjadi warna coklat serta ditambah sedikit rasa manis. Kemudian ia digulung bersama biji bijan sebelum dibakar.

    Berlainan dan tidak sama

    Walaupun agak kelihatan serupa, namun simit tidak dimasak seperti bagel, tidak direbus akan tetapi roti ini dibakar, menjadikannya ranggup tidak kenyal, dengan tekstur emas dan warnanya disebabkan molases.

    Simit adalah snek atau roti jalanan yang paling terkenal di Turki dan sangat sesuai untuk sarapan pagi bersama segelas air teh Turki yang panas atau air buah zaitun.

    Selama berabad-abad, roti ini telah menjadi hidangan utama kehidupan seharian di seluruh negara itu di mana terdapat pelbagai gaya dan jenis roti mengikut bandar-bandar yang berbeza. Simit merupakan cara yang paling murah untuk mengisi perut anda di Turki dan lazimnya akan dijual oleh peniaga jalanan yang berjalan kaki setiap hari bersama dulang yang dipenuhi dengan makanan ringan itu.

    Di kawasan jalan Tunali Hilmi yang sibuk di Ankara, sebuah jalan yang terkenal dan meriah, dipenuhi dengan bekas-bekas kaca yang bersih dan dipenuhi dengan simit segar dan lazat bagi mengalu-alukan pengunjung atau pembeli. “Kami menjual sekitar 1,500 biji sehari, orang ramai suka membeli makanan di sini dan memakannya di taman,” kata Mehmet, vendor kepada media. – Xinhua

    Walaupun kelihatan agak serupa, namun simit tidak dimasak seperti bagel, tidak direbus akan tetapi roti ini dibakar. – Agensi
    ATAS & BAWAH: Dikenali sebagai ‘bagel Turki’, simit dimasukkan ke dalam kamus terkenal itu bersama dengan beberapa makanan lain di seluruh dunia. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda