Pelakon yang popular menerusi francais filem Harry Potter, Simon Fisher-Becker, telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun.
Memetik laporan Media Hiburan, berita pemergian aktor berbadan besar itu disahkan sendiri oleh pengurusnya, Kim Barry dari Jaffrey Management, serta pasangannya, Tony, dalam satu hantaran di media sosial.
“Hari ini saya kehilangan bukan sahaja seorang klien, tetapi juga seorang sahabat rapat selama 15 tahun,” kata Barry dalam satu kenyataan rasmi kepada media.
Selain itu, Kim Barry turut berkongsi kenangan istimewanya bersama Fisher-Becker sepanjang bekerjasama dalam memacu kerjaya pelakon itu dalam dunia lakonan.
“Saya masih ingat saat saya menelefonnya untuk memberitahu bahawa dia ditawarkan watak Dorium Maldovar dalam Doctor Who,” katanya.

Selain berbakat besar dalam lakonan, Fisher-Becker juga dikenali sebagai seorang penulis, pencerita dan penceramah yang hebat.
“Dia sangat baik hati, penuh budi bahasa dan sentiasa mengambil berat tentang orang di sekelilingnya. Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada suaminya, Tony, keluarganya, serta semua peminat yang menyayangi Simon,” tambah Barry.
Pada hari Ahad lalu, suami kepada Fisher-Becker, Tony, memuat naik hantaran menyayat hati di Facebook bagi mengesahkan berita pemergian pelakon itu.
Muncul dalam filem Harry Potter yang pertama iaitu Harry Potter and the Philosopher’s Stone, watak Fisher-Becker sebagai hantu Fat Friar dalam Harry Potter sememangnya meninggalkan kesan kepada peminat francais magis tersebut.
Hantu rasmi Rumah Hufflepuff itu cukup dikenali kerana perwatakannya yang ceria dan mesra. Selain Harry Potter, Fisher-Becker juga sinonim dengan wataknya sebagai Dorium Maldovar dalam musim ke-5 dan ke-6 siri hit Doctor Who. – Agensi