MELBOURNE, 19 DIS – Juara dua kali Grand Slam, Simona Halep, akan kembali beraksi selepas penggantungan akibat kes doping, dan anak lelaki Lleyton Hewitt yang berusia 16 tahun, Cruz, adalah antara pemain yang diberikan tiket wild card kelmarin untuk kelayakan Terbuka Australia bulan depan.
Halep, pemain berusia 33 tahun dari Romania, pernah menjadi naib juara di Melbourne Park pada 2018 dan memenangi gelaran utama di Terbuka Perancis pada tahun yang sama serta Wimbledon pada 2019.
Dia pernah menduduki ranking nombor satu dunia tetapi kini berada di tangga ke-877 dan tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan Grand Slam sejak 2022 selepas terlepas semua kejohanan selama satu setengah tahun kerana kes doping.
Sementara itu, Cruz Hewitt berada di luar kedudukan 1,000 teratas. Bapanya, yang pernah memenangi dua trofi utama dan mencapai kedudukan nombor satu dunia, membuat penampilan sulung di Terbuka Australia pada 1997 pada usia 15 tahun melalui tiket wild card kelayakan.
Lleyton Hewitt bersara pada 2016, terpilih dalam International Tennis Hall of Fame pada 2021, dan kini menjadi kapten Piala Davis Australia.
Pemain lelaki lain yang mendapat wild card untuk acara kelayakan pada 6-9 Januari termasuk pemain suku akhir Wimbledon 2023, Chris Eubanks serta bekas pemain 25 teratas, Dan Evans dan Bernard Tomic, manakala kumpulan wanita termasuk pemenang pingat emas beregu Sukan Olimpik Paris dan naib juara perseorangan Terbuka Perancis 2012, Sara Errani serta pemain 20 teratas Petra Martic dan Ana Konjuh.
Pusingan undian utama akan bermula di Melbourne pada 12 Januari tahun depan. – AP