Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Sebuah restoran di Gadong dikenakan denda sebanyak $6,300 selepas pemiliknya mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Bab 37, Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005, di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada 16 September 2025.
Kes berkenaan melibatkan penemuan satu tong 25 liter lemak khinzir (Refined Lard), 35 paket pepejal darah itik, serta 57 jenis bahan makanan lain yang diragui status kehalalannya, dipercayai dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam dan disimpan dalam premis itu.
Penemuan berkenaan dibuat oleh pegawai-pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah semasa pemantauan rutin pada 26 September 2023. Pada hari yang sama, Sijil Halal dan Sijil Penyelia Halal milik premis tersebut turut dirampas serta-merta.
Dalam penghakimannya, Majistret Abdul ‘Azim bin Othman menegaskan bahawa defendan yang mempunyai pengalaman menjalankan perniagaan sejak tahun 1999, sepatutnya memahami serta menunaikan tanggungjawab memastikan hanya bahan-bahan ramuan yang halal digunakan dan dihidangkan kepada pelanggan.
Walau bagaimanapun, defendan didapati gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut tanpa alasan munasabah. Majistret turut mengingatkan defendan serta para pengusaha restoran lain yang mempunyai Sijil Halal supaya sentiasa berwaspada dan memastikan kesemua bahan ramuan yang digunakan adalah halal dan sesuai untuk dimakan, memandangkan majoriti penduduk Negara Brunei Darussalam beragama Islam.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menegaskan agar semua pengusaha restoran dan penyedia perkhidmatan makanan di negara ini sentiasa mematuhi syarat-syarat pensijilan halal yang ditetapkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), di samping memastikan setiap bahan makanan adalah sah dari segi syarak.
BKMH, Jabatan Hal Ehwal Syariah akan terus mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan makanan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang dan peraturan halal yang berkuat kuasa, demi menjaga kemaslahatan umat Islam serta mengekalkan integriti sistem pensijilan halal negara.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan perkara ini bolehlah menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.


