Friday, January 31, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simpanan lesap akibat penipu siber

    BENGALURU – Dalam tempoh lima jam, ketika duduk di rumahnya di India, seorang profesor bersara, Kamta Prasad Singh, menyerahkan wang simpanannya kepada penipu dalam talian yang menyamar sebagai polis.

    Jenayah siber yang dikenali sebagai ‘digital arrest’ – di mana penipu menyamar sebagai pegawai penguat kuasa undang-undang dan mengarahkan mangsa memindahkan sejumlah besar wang – semakin berleluasa sehingga Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengeluarkan amaran.

    Singh memberitahu AFP bahawa wang tersebut adalah simpanan sepanjang hayatnya.

    “Selama bertahun-tahun, saya mengelak minum teh di luar dan berjalan kaki untuk menjimatkan tambang pengangkutan awam,” kata lelaki berusia 62 tahun itu dengan suara sebak. “Hanya saya yang tahu bagaimana saya menyimpan wang ini.”

    Polis berkata penipu mengeksploitasi jurang besar antara kepantasan pendigitalan data di India – termasuk butiran peribadi dan perbankan dalam talian – dengan kesedaran ramai yang masih rendah mengenai keselamatan internet asas.

    Jenayah siber ‘penahanan digital’ di India semakin berleluasa sehingga Perdana Menteri India mengeluarkan amaran. – AFP
    Penipu menyamar sebagai polis dalam talian dan mengarahkan mangsa memindahkan sejumlah besar wang. – AFP
    Penipu menggunakan nombor ID Aadhaar mangsa supaya kelihatan meyakinkan. – AFP
    Penipu mengambil kesempatan jurang antara kepantasan pendigitalan data di India dan kesedaran keselamatan internet yang masih rendah. – AFP

    Penipu menggunakan teknologi untuk mencuri data, menyasarkan maklumat yang dipercayai mangsa hanya boleh diakses oleh pihak berkuasa kerajaan, serta membuat permintaan yang kelihatan sah.

    Rakyat India telah mengosongkan akaun bank mereka ‘kerana ketakutan semata-mata’, kata Modi dalam siaran radio pada Oktober lalu, sambil menambah bahawa penipu mencipta tekanan psikologi yang begitu besar terhadap mangsa.

    Telefon bimbit, terutamanya panggilan video, membolehkan penipu ‘masuk terus ke dalam rumah mangsa’.

    India mengendalikan program identiti digital biometrik terbesar di dunia – dikenali sebagai Aadhaar – iaitu kad pengenalan unik yang dikeluarkan kepada lebih satu bilion rakyat India dan semakin diperlukan untuk transaksi kewangan.

    Penipu sering menyamar sebagai polis yang menyiasat transaksi mencurigakan, menyebut nombor Aadhaar mangsa bagi meyakinkan mereka bahawa panggilan itu sah. Mereka kemudian meminta mangsa membuat pemindahan wang ‘sementara’ untuk mengesahkan akaun mereka sebelum mencuri wang tersebut.

    TAKTIK MENIPU DENGAN TEKNIK CANGGIH

    Singh, dari negeri Bihar di timur India, berkata penipuan itu bermula apabila dia menerima panggilan pada Disember lalu daripada individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa telekomunikasi.

    “Mereka mengatakan polis sedang dalam perjalanan untuk menangkap saya,” kata Singh.
    Penipu itu mendakwa bahawa nombor ID Aadhaar miliknya telah disalahgunakan untuk pembayaran haram.

    Akibat ketakutan, Singh bersetuju untuk membuktikan bahawa dia mempunyai kawalan terhadap akaun banknya. Selepas beberapa ancaman, dia akhirnya memindahkan lebih daripada AS$16,100.

    “Saya hilang selera makan, sukar tidur,” katanya. “Saya benar-benar musnah.”

    Lonjakan kes penipuan dalam talian amat membimbangkan kerana “betapa meyakinkannya taktik mereka”, kata pegawai polis Sushil Kumar, yang telah menangani jenayah siber selama lima tahun.

    Pelaku terdiri daripada pelbagai latar belakang, daripada mereka yang tidak berpendidikan hingga golongan profesional yang bijak.

    “Mereka tahu apa yang perlu dicari di internet untuk mendapatkan butiran asas tentang bagaimana agensi kerajaan berfungsi,” tambah Kumar.

    Pada tahun 2022, India mencatatkan 17,470 kes jenayah siber, termasuk 6,491 kes penipuan perbankan dalam talian, menurut data kerajaan terbaharu.

    MODUS OPERANDI BERBEZA, TETAPI SAMA BERBAHAYA

    Kaedah penipuan berbeza-beza. Seorang wanita berusia 71 tahun, yang dikenali sebagai Kaveri (bukan nama sebenar), menceritakan pengalamannya kepada AFP.

    Penipu menyamar sebagai pegawai syarikat kurier Amerika Syarikat, FedEx, dan mendakwa dia telah menghantar bungkusan mengandungi dadah, pasport dan kad kredit.

    Mereka memberikan nama penuh dan nombor Aadhaar Kaveri sebagai ‘bukti’, diikuti dengan surat palsu yang kononnya daripada Bank Pusat India dan Biro Penyiasatan Pusat (CBI), agensi penyiasatan tertinggi negara itu.

    “Mereka meminta saya memindahkan wang, yang kononnya akan dikembalikan dalam masa 30 minit,” katanya, sambil menambah bahawa dia yakin apabila mereka menghantar surat rasmi dengan tandatangan.

    Dalam tempoh enam hari, dia memindahkan wang simpanan hasil penjualan rumahnya, berjumlah sekitar AS$120,000, dalam empat transaksi sebelum para penipu menghilangkan diri.

    Kaveri menggambarkan detik-detik tersebut “seperti melalui terowong gelap tanpa penghujung”.

    POLIS PALSU MELALUI PANGGILAN VIDEO

    Seorang lagi mangsa, Meeta, 35 tahun, seorang profesional kesihatan dari Bengaluru, turut diperdaya melalui panggilan video oleh penipu yang menyamar sebagai polis.

    “Ia kelihatan seperti balai polis sebenar, dengan bunyi walkie-talkie,” katanya.

    Penipu itu mengarahkannya untuk membuktikan bahawa dia mempunyai kawalan ke atas akaun banknya dengan mengambil pinjaman sebanyak 200,000 rupee (AS$2,300) melalui aplikasi bank di telefonnya. Kemudian, mereka memaksanya membuat pemindahan sementara.

    Walaupun dia telah memaklumkan kepada pihak bank bahawa dia telah ditipu, Meeta masih diminta membayar balik pinjaman tersebut.

    “Kepercayaan saya terhadap bank kini hampir tiada,” katanya, sebelum menyumpah penipu tersebut.

    “Saya harap mereka menderita di neraka.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda