‘Simpati atas dasar percaya anak yatim’ – Andi

Penyanyi, Andi Bernadee, 30, mendedahkan duit RM70,000 yang didakwa diseleweng oleh rakan baiknya adalah hasil titik peluh bekerja keras menerusi drama Perisik Cinta Tak Diundang yang kini bersiaran di slot Akasia, TV3.

Berkongsi perkembangan terkini, Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile, suspek sudah dipanggil untuk disoal siasat.

“Siasatan sedang berjalan. Suspek sudah ditahan reman selama tiga hari, minggu lalu.

“Sekarang, kes saya masih dalam peringkat siasatan dan bakal dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi.

“Kini, tunggu satu peringkat sahaja lagi untuk dibicarakan,” katanya kepada media. Terdahulu, Andi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendakwa rakan baiknya melakukan fitnah dan pecah amanah membabitkan kerugian hampir RM70,000.

Andi Bernadee mendedahkan duit yang didakwa diseleweng oleh rakan baiknya adalah hasil titik peluhnya sendiri. – Agensi

Andi ditemui pada sidang media drama terbaharu, Perisik Cinta Tak Diundang arahan Azmi Hatta. Berkongsi lanjut, Andi berkata, dia masih belum menerima wang yang diseleweng, namun menyifatkan bukan rezekinya.

“Hasil penat lelah bekerja dalam drama Perisik Cinta Tak Diundang inilah yang disonglap.

“Ini hasil titik peluh saya bekerja dari awal tahun, tetapi apakan daya, ia bukan rezeki saya.

“Insya-Allah, duit saya boleh cari,” katanya.

Dalam pada itu, calon awal Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu reda dan terima ujian sebagai pengajaran pada masa hadapan.

“Apabila jadi seperti ini, saya menyalahkan diri saya dahulu. Saya mudah sangat meletakkan kepercayaan kepada orang. Cara saya mengenalinya atas simpati sebab anak yatim.

“Mungkin disebabkan itu, dia boleh mengambil kesempatan ke atas saya. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur perkara ini berlaku kepada saya.

“Sekurang-kurangnya, saya mempunyai pengalaman lebih awal sebelum saya menerima projek kerja lebih besar bernilai ratusan ribu. Jadi, saya terima ujian ini seadanya,” katanya.

Andi percaya, di sebalik dugaan itu tersembunyi hikmah besar buat dirinya. Antaranya, rezekinya diberi kepercayaan menjayakan watak utama menerusi drama Perisik Cinta Tak Diundang bersama Shiha Zikir. – Agensi