Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah dengan kerjasama CfBT Education Services (CfBT), hari ini, telah mengadakan Simposium English Language Peer Partnerships (ELPP) 2023 di Dewan Multimedia, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES).
Simposium tersebut adalah sebagai penutup projek ELPP di mana guru sekolah-sekolah rendah dan menengah yang terdiri daripada warga Brunei diberi peluang untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran dalam strategi pengajaran adaptif.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan di Kementerian Pendidikan, Hajah Sallimah binti Haji Mohammad Salleh.
Pada majlis penutup simposium berkenaan, Hajah Sallimah turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta dan pembimbing rakan sebaya CfBT.
Turut hadir ialah Pengurus Negara CfBT Education Services, Dr Louise Pagden, Pengarah Bersama Projek Pengajaran Bahasa Inggeris CfBT serta ketua-ketua jabatan di Kementerian Pendidikan, ketua-ketua kluster dan para pemimpin sekolah.
Majlis dimeriahkan dengan tayangan video pendek daripada guru-guru warga Brunei yang telah mengambil bahagian di mana mereka berkongsi pandangan proses pembelajaran kolaboratif kepada pemahaman tentang strategi pengajaran adaptif.




