Monday, September 30, 2024
33.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simposium Hari Strok Sedunia dirasmikan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan dan rawatan strok serta teknik dan pengurusan strok bagi pesakit, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) melalui Pusat Pemulihan & Strok Neurosains Brunei (BNSRC) telah mengadakan Simposium Hari Strok Sedunia yang berlangsung di Dewan Kuliah, PJSC, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan simposium berkenaan ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.

    Dalam kata alu-aluannya, Pakar Neurologi Konsultan dan Pengerusi Hari Strok Sedunia 2024, Dr Hajah Anas Naomi binti Dato Paduka Haji Harun menyatakan bahawa kempen Hari Strok Sedunia 2024 akan memanfaatkan kuasa sukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai strok serta menggalakkan tindakan ke arah pemulihan serta pencegahan strok.

    Dengan mengekalkan tema yang sama seperti tahun lalu, #Greaterthan, ia merangkumi aktiviti atau tabiat di mana seseorang mampu menangani strok seperti melakukan pemeriksaan kesihatan, berhenti merokok, mengawal tekanan darah tinggi serta mengetahui dan mengurangkan risiko.

    Menyentuh mengenai simposium berkenaan, Dr Hajah Anas Naomi berkata ia diharap akan membantu memupuk komunikasi dan menghubungkan profesional penjagaan kesihatan daripada insititusi berlainan.

    Dr Haji Mazrul Adimin bergambar ramai dengan pengurusan kanan PJSC. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Haji Mazrul Adimin menyampaikan cenderahati kepada para pembentang simposium berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Hajah Anas Naomi menyampaikan cenderahati kepada Dr Haji Mazrul Adimin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Simposium itu menampilkan pembentangan daripada pakar-pakar BNSRC di mana mereka memberikan pandangan mengenai penjagaan strok dengan menekankan kepentingan pengesanan awal, pencegahan serta pengurusan berkesan.

    Dr Hajah Anas Naomi dalam pembentangannya yang bertajuk, Acute Stroke Treatment-Thrombolysis membincangkan petunjuk, algoritma dan proses membuat keputusan dalam penggunaan thrombolysis bagi rawatan strok akut.

    Sementara itu, Konsultan Kanan, Dr Arun Kumar Gupta dalam pembentangan Interventional Neuroradiology in Acure Ischemic Stroke, mengetengahkan perkembangan dalam rawatan strok, manakala Pakar Neurologi, Dr Jessie T Colacion membentangkan TOAST Criteria and Long-Term Secondary Prevention After Ischemic Stroke and TIA, Pegawai Perubatan Kanan, Dr Han Lin Naing bercakap mengenai hubungan antara diabetes dan strok, menekankan pengesanan awal, pendidikan pesakit dan pengurusan glycaemic yang efektif menerusi pembentangan Stroke and DM Management serta Pegawai Perubatan Kanan, Dr Chan Guan Choon membincangkan garis panduan terkini pengurusan tekanan darah dalam pencegahan dan rawatan strok dalam pembentangan bertajuk Stroke and Hypertension Management.

    Turut menyampaikan pembentangan semasa simposium berkenaan ialah Pegawai Perubatan Kanan, Dr Yong Cheen Shin bertajuk Lipid Management in Stroke di mana beliau membincangkan mengenai dapatan terkini bagi pengurusan lipid dalam strok.

    Simposium itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan untuk meningkatkan penjagaan kesihatan dan menyelaraskannya dengan inisiatif global untuk mempromosikan kesedaran awam mengenai pengurusan dan pencegahan strok.

    Dengan mengumpulkan profesional perubatan dan perkongsian ilmu pengetahuan, PJSC berhasrat untuk memperbaiki lagi keadaan pesakit strok serta mengurangkan beban penyakit berkenaan di seluruh negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda