Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simposium Kesusasteraan Kebangsaan labuh tirai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Setelah pembentangan selama dua hari, Simposium Kesusasteraan Kebangsaan kedua melabuhkan tirainya dengan pembentangan resolusi dan majlis rasmi penutupan simposium yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan penutupan rasmi dan menerima resolusi simposium berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Dr Siti Norkhalbi menghadiri majlis penutup simposium berkenaan.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab menyatakan simposium anjuran Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) berkenaan menjadi ruang penting untuk mengiktiraf bahawa pemikiran tokoh seperti Shukri Zain bukan sahaja perlu dikenang tetapi perlu terus dibicarakan, dikaji dan diwarisi oleh generasi baharu.

    Awang Suip menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    “Warisan intelektual beliau menuntut kita untuk melihat sastera bukan semata-mata sebagai karya seni, tetapi cermin nilai, akal budi dan panduan pembinaan masyarakat berteraskan ilmu dan iman,” ujarnya.

    Awang Suip menyatakan lagi melalui simposium berkenaan, mereka telah menegaskan bahawa kajian tokoh bukan usaha sekadar retrospektif semata-mara tetapi satu tanggungjawab budaya dan ilmiah untuk memastikan pemikiran besar yang pernah mewarnai perkembangan negara, tidak hilang ditelan masa, malah terus menjadi rujukan dalam perancangan budaya, pendidikan dan pembangunan masyarakat.

    Majlis seterusnya menyaksikan pembentangan resolusi simposium oleh Ketua Pelapor, Dr Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud yang mana ia merupakan adalah hasil daripada hasrat, cadangan dan pandangan dalam teks ucaptama serta pembentangan kertas-kertas kerja simposium.

    Dr Kahtrina membentangkan resolusi simposium berkenaan.

    Resolusi berkenaan adalah termasuk inisiatif untuk membangunkan Brunei sebagai sebuah pusat pembangunan kesusasteraan Islam; ASTERAWANI hendaklah berusaha mendigitalisasikan karya-karya penulis Brunei dengan kerjasama institusi-institusi berkenaan; ASTERAWANI hendaklah meningkatkan kegiatan kesusasteraan seperti sesi wacana buku untuk orang ramai sepanjang tahun dan acara kesusasteraan yang lain dengan kerjasama pihak berkepentingan seperti penjual buku, kelab membaca dan para pendidik; ASTERAWANI berperanan menjadi pusat untuk mengangkat penulis tanahair menjadi penulis yang berfikiran ke tahap peringkat antarabangsa; ASTERAWANI boleh meneliti penubuhan sebuah hadiah sastera tahunan; Kumpulan Sajak Damai Dalam Sentuhan dan buku-buku lain karya Shukri Zain boleh dinilai daripada segi kesesuaiannya untuk digunakan dalam kurikulum ataupun diangkat sebagai buku teks di peringkat ‘O’ level serta Sastera wajar dikomersialkan bagi menarik minat generasi muda kerana ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat.

    Dr Siti Norkhalbi menerima resolusi simposium yang diserahkan oleh Dr Kahtrina.

    Majlis diteruskan dengan penyerahan resolusi simposium daripada Dr Kathrina kepada Dr Siti Norkhalbi serta diikuti dengan penutupan rasmi simposium oleh Dr Siti Norkhalbi.

    Dr Siti Norkhalbi menyempurnakan penutupan rasmi simposium berkenaan.

    Sebanyak 14 buah kertas kerja telah disampaikan dalam simposium berkenaan termasuk dua ucap utama yang menumpukan kegiatan sastera Allahyarham Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama (Dr) Ustaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin atau dalam dunia penulisan dikenal sebagai Shukri Zain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda