Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – “Simposium Sejarah ini bukan sekadar wadah pertemuan ilmiah tetapi juga benteng ketahanan intelektual dan budaya bagi memastikan legasi ketamadunan Islam terus terpelihara bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam, malah di seluruh rantau Nusantara”.
Selepas kedatangan Islam ke rantau ini, ia telah membentuk pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk sosial, pendidikan, perundangan, kesusasteraan, seni bina, perdagangan dan sistem pemerintahan beraja.
Perkara ini ditegaskan oleh Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh pada Simposium Sejarah : Ketamadunan Islam di Nusantara yang berlangsung di Dewan Pusat Sejarah Brunei (PSB) di ibu negara hari ini.
Antara lain tujuan simposium berkenaan adalah untuk memperkukuh kefahaman dan penghargaan terhadap warisan ketamadunan Islam yang membentuk akar sejarah dan identiti bangsa Melayu.
Beliau seterusnya menjelaskan, penganjuran simposium julung kali ini merupakan usaha berterusan PSB melalui kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi bersama Bahagian Pusat Pengkajian Borneo bagi memperkukuh kefahaman tentang warisan ketamadunan Islam yang menjadi asas pembangunan masyarakat dan negara.

Katanya, Kesultanan Brunei merupakan contoh jelas kesinambungan warisan tersebut melalui penerapan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara Islam yang aman, makmur dan sejahtera.
Beliau juga yakin kehadiran para pembentang yang berpengalaman akan membuka ruang kepada dapatan baharu dalam penulisan sejarah yang lebih komprehensif serta menyumbang kepada perluasan khazanah keilmuan serantau.
Dalam pada itu, beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara warisan ketamadunan Islam yang menjadi asas pembentukan masyarakat berilmu, beradab dan berakhlak mulia.
Beliau turut menegaskan kepentingan memelihara warisan sejarah Islam seperti Batu Tarsilah, Batu Bersurat, manuskrip, makam dan batu nisan bersejarah sebagai khazanah yang mencerminkan keagungan tamadun Islam di rantau ini.
Selain menzahirkan penghargaan kepada Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, hadir selaku tetamu khas majlis, serta para pembentang dari Brunei, Indonesia dan Malaysia atas penyertaan dalam simposium berkenaan.

