Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Simposium Antarabangsa Bahasa Arab 2025 yang berlangsung pagi tadi di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mengetengahkan tiga pembentangan kertas perdana yang memperincikan isu-isu utama dalam pengajaran bahasa Arab kepada penutur bukan jati, merangkumi aspek pedagogi, pembangunan buku, serta keperluan inovasi bahan pengajaran di rantau Asia Tenggara.
Simposium berkenaan menghimpunkan para sarjana, penyelidik, pendidik dan pengamal bahasa Arab dari pelbagai institusi dalam dan luar negara bagi membincangkan perkembangan semasa, inovasi pedagogi serta masa depan pengajian bahasa Arab dalam era digital.
Para pembentang terdiri daripada Ketua Umum dan Pengurus Pusat Ittihad Mudarrisi Al-Lughah Al-Arabiyyah Indonesia (IMLA Indonesia), Profesor Dr Uril Bahruddin; Penasihat Pusat Lingual Arab (ARLIC), Indonesia Profesor Dr Abdul Karim Awad Hayaza; dan Profesor Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam, Profesor Dr Siti Sara binti Haji Ahmad.
Pembentangan pertama disampaikan oleh Profesor Dr Siti Sara, di mana dalam kajian beliau menganalisis strategi pembaharuan pedagogi dan inovasi metodologi yang diterapkan dalam penghasilan buku bahasa Arab komunikatif bagi pelajar bukan penutur jati.
Berdasarkan pendekatan deskriptif–perbandingan, kajian menelusuri penerapan pendekatan komunikatif, pembelajaran berasaskan tugasan, integrasi kemahiran bahasa secara menyeluruh serta dimensi budaya dan teknologi.

Kajian turut menilai sejauh mana buku tersebut selaras dengan piawaian antarabangsa seperti ACTFL dan CEFR.
Dapatan menunjukkan bahawa UNISSA berjaya membangunkan satu model pembelajaran moden yang mentakrifkan semula pengajaran bahasa Arab melalui perspektif komunikatif yang holistik serta sesuai dengan keperluan pelajar di Asia Tenggara.
Pembentangan kedua oleh Profesor Dr Uril Bahruddin, memberi fokus kepada ciri-ciri asas sebuah buku pengajaran bahasa Arab berkualiti bagi penutur bukan jati.
Kajian beliau meneliti pelbagai permasalahan umum dalam buku pengajaran sedia ada, antaranya pencampuran keperluan pelajar bukan Arab dengan kandungan yang asalnya disusun untuk penutur Arab, kelemahan hierarki bahan serta pengabaian kemahiran mendengar dan bertutur.
Beliau mengemukakan satu kerangka standard komprehensif merangkumi kesistematikkan penyampaian, integrasi kemahiran seimbang, latihan aplikasi bermakna, penggunaan bahasa Arab baku yang tepat, pengadunan unsur budaya dan penambahbaikan reka bentuk.
Dapatan menegaskan keperluan mendesak membangunkan buku pengajaran berdasarkan pendekatan ilmiah kontemporari agar lebih selaras dengan konteks pelbagai kumpulan pelajar.
Sementara itu, Profesor Dr Abdul Karim Awad Hayaza, membentangkan analisis mendalam mengenai realiti pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing di Asia Tenggara.
Kajian beliau menelusuri cabaran struktural dalam kurikulum tradisional serta menjelaskan keperluan merangka bahan pengajaran yang berorientasikan konteks linguistik dan budaya pelajar.
Pembentangan turut menyoroti usaha Pusat Bahasa Ibunda dan Persatuan Guru Bahasa Arab Indonesia dalam membangunkan siri pembelajaran kontemporari berasaskan bahasa Arab baku, situasi komunikatif dan integrasi empat kemahiran berbahasa secara seimbang.
Dapatan turut menegaskan kepentingan pendekatan komunikatif yang berkesan, berasaskan pengalaman global serta responsif terhadap realiti pelajar di rantau ini.
Simposium berkenaan memperlihatkan komitmen bersama untuk memperkukuh pembangunan bahan pengajaran bahasa Arab secara lebih sistematik, inovatif dan relevan dengan keperluan semasa.

