Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Simposium 30 Tahun Pendidikan Tahfiz Al-Quran Di Negara Brunei Darussalam yang julung kali diadakan telah dikendalikan dengan jayanya oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) pagi tadi dengan kolaborasi bersama Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran (PPPQ) Mabims dan Huffaz Management.
Sehubungan itu, majlis perasmian simposium telah diadakan pagi tadi di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Perdana Menteri.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Simposium tersebut merupakan salah satu acara utama bagi meraikan sambutan berkenaan dengan objektif sebagai satu platform untuk menzahirkan kepada masyarakat Brunei akan peranan dan sumbangan ITQSHHB dalam memperkembangkan bidang Tahfiz Al-Quran di negara ini.
Tema simposium pada tahun ini ialah Memperkasa Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam merupakan aspirasi Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah Negara Zikir berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dengan Qiraat, diikuti dengan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pemangku Pengetua ITQSHHB, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof.
Acara diteruskan dengan ucapan dan perasmian simposium oleh tetamu kehormat majlis.
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dalam ucapannya mengongsikan bahawa pada 10 tahun yang lalu, ITQSHHB telah mendapat pengiktirafan luar negara sebagai Mahad Tahfiz Al-Quran Al-Karim Mithali dengan menerima Anugerah Antarabangsa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah bin Abdulaziz Al-Saud.
Pengiktirafan itu menilai tinggi sistem dan mutu pengajiannya kepada mesyarakat Negara Brunei Darussalam.
Menurut Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, pengiktirafan seumpama itu adalah penting bagi kita sendiri menilai usaha-usaha seterusnya bagi mengembang majukan ITQSHHB yang ditubuhkan dengan hasrat murni yang dititahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1993 dan seterusnya pada tahun 2006.
“Sesungguhnya kita boleh menyebutkan dengan perasaan lega betapa misalnya pada awal penubuhannya, ITQSHHB yang kita sambut 30 tahun usianya hanya menawarkan pengajian peringkat menengah sahaja. Kemudian pada tahun 2010 iaitu setelah empat tahun di bawah kendalian urus KHEU ia menawarkan pengajian peringkat Diploma ‘Aliyah Qiraat yang setaraf dengan Diploma Kebangsaan (ND).
“Dan seterusnya pada tahun 2023, tahun lepas, ia telah menawarkan pengajian peringkat Diploma Tertinggi Qiraat, setaraf dengan Diploma Tertinggi Kebangsaan (HND),” kongsi tetamu kehormat.
Majlis juga diserikan dengan tayangan video, diikuti dengan sesi pembentangan oleh pembentang utama pertama iaitu Penolong Profesor Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Haji Ahmad Baha bin Haji Mokhtar, dengan tajuk Pemerkasaan Hafazan Al-Quran Melalui Kefahaman Metode Siyaq dan Teori Neurosains dan pembentang utama kedua iaitu Pemangku Pengarah Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal, Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, dengan tajuk Hafazan Al-Quran – Satu Pengalaman Di Negara Brunei Darussalam.
Acara diteruskan dengan sesi soal jawab dan penyampaian sijil penyertaan kepada pembentang-pembentang ucaptama. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Pensyarah Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat, ITQSHHB, Dr Sheikh Mutiaa Al-Kabbani Mahmoud.
Turut hadir ialah para pegawai kanan KHEU, pegawai-pegawai, pensyarah-pensyarah, guru-guru, dan kakitangan serta pelajar-pelajar ITQSHHB.