Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Guru Sains sekolah rendah berperanan sebagai pemacu rasa ingin tahu dan kesinambungan budaya. Oleh itu, mereka diseru untuk melaksanakan pendidikan STEAM yang berpandangan ke hadapan serta berteraskan nilai-nilai budaya tempatan, sejajar dengan aspirasi pembangunan negara seperti SPN21 dan Wawasan 2035.
Seruan itu dibuat oleh Penolong Profesor dan Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Kelestarian, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Roslinawati binti Mohd Roslan dalam ucaptama bertajuk Little Scientists, Local Wisdom: Ethnoscience and STEAM for Brunei’s Classrooms, semasa Simposium Sains 2025 yang berlangsung di Dewan Mawaddah, Setia Point, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Pengarah Pengurusan Pendidik, Dayang Masdiah binti Awang Haji Tuah dan ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta tenaga pengajar Kementerian Pendidikan.
Dalam ucaptama berkenaan, Dr Roslinawati menerangkan mengenai konsep etnosains iaitu tradisi tempatan, amalan komuniti dan kebijaksanaan pribumi yang diketengahkan sebagai titik permulaan yang berkesan untuk pembelajaran STEAM.

Melalui strategi praktikal dan amalan bilik darjah, guru-guru adalah digalakkan untuk mengintegrasikan konteks Brunei dalam pengajaran sains supaya lebih bermakna, menyeronokkan dan relevan.
Pada akhir ucaptama berkenaan, para pendidik diberi inspirasi untuk membimbing saintis kecil yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat global tetapi teguh jati diri serta berakar kukuh pada identiti tempatan.
Simposium yang membawa tema Beyond the Classroom Integrating Technology and Real-World Applications in Primary Science Education dianjurkan oleh Unit Tenaga Pengajar, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik dengan kehadiran seramai 230 peserta dan jemputan yang terdiri daripada guru-guru sains dari semua sekolah rendah kerajaan.

Simposium bermatlamat untuk melangkaui peningkatan pengajaran berasaskan teknologi kepada transformasi pembelajaran yang autentik dan berteraskan amalan saintifik selain memupuk ekosistem profesional yang bersifat kolaboratif bagi menyokong integrasi teknologi dan penerapan aplikasi dunia sebenar dalam pendidikan sains sekolah rendah secara berkesan.
Sesi diakhiri dengan bengkel bertajuk Making Primary Science Relevant: Technology and Real-World Connections yang dikendalikan oleh Pegawai Pendidikan Kanan, Sekolah Menengah Awang Semaun, Dr Haji Sahrunizam bin Haji Kasah.
Sesi petang diteruskan dengan bengkel yang dikendalikan oleh Pegawai Pendidikan Kanan, Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin, Awang Harrisman Ashady bin Haji Ali, bertajuk Integrating Artificial Intelligence into Primary Science Teaching and Assessment: A Framework for Authentic, Aligned Learning, yang memperkenalkan satu kerangka kerja praktikal untuk pengintegrasian kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran dan penilaian sains sekolah rendah.
Semua di atas: Antara peserta yang menghadiri simposium berkenaan.
Simposium diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pemangku Ketua Unit Tenaga Pengajar di Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dr Haji Ade Shahren bin Haji Suhaili.
